suria

Rundingan Mengenai Penguatkuasaan Undang-Undang Hutan Dengan EU

BERLIN: Perbincangan mengenai Perjanjian Penguatkuasaan Undang-undang Hutan, Kerajaan dan Usaha Sama Sukarela Perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU) masih diteruskan, dengan industri mahu memastikan manfaat ke atas akses pasarannya ke EU, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok.

Perkara itu dinyatakan oleh Dompok pada mesyuarat dua hala dengan Dr Gerd Muller, Setiausaha Parlimen, Kementerian Makanan Pertanian dan Perlindungan Pengguna Persekutuan Jerman, pada Khamis.

Muller mahu mengetahui kemajuan hasil rundingan antara Malaysia dan EU mengenai perjanjian itu.

"Sebagai contoh, apakah manfaat yang diperoleh oleh pengeluar Malaysia ke atas akses pasaran ke EU. Daripada keseluruhan hsil perhutanan negara, 15 peratus kayu dan produk berkaitan kayu, dieksport ke Eropah.

"Ia merupakan pasaran yang penting. Oleh itu kami perlu memberi pemahaman kepada mereka bahawa kita berminat dalam memastikan kayu dikeluarkan secara sah dan berkekalan," katanya kepada Bernama.

Dompok kini mengetuai delegasi 20 anggota dalam lawatan kerja ke Jerman, Belanda dan Belgium dari 10 hingga 21 Nov. Objektif lawatan itu antara lain ialah untuk meningkatkan akses pasaran bagi produk kayu dan minyak sawit.

Dompok berkata demi kepentingannya, Malaysia "tidak akan membunuh angsa yang bertelur emas", dan oleh sebab itu ia akan memastikan amalan perhutanan Malaysia adalah berasaskan pengeluaran mampan.

Beliau berkata Malaysia juga mahu mengetahui sama ada dokumen yang dimeterainya dengan EU juga terpakai untuk negara anggota EU yang lain.

"Kami dimaklumkan oleh pegawai Jerman bahawa apa yang terpakai di EU, juga digunakan untuk Jerman, Industri Malaysia mahu memastikan manfaat yang dikehendaki, sama ada EU mahu mematuhi perjanjian yang ditandatanganinya dengan Malaysia.

"Berdasarkan apa yang saya kumpul setakat ini, yang membabitkan Jerman, ia merupakan dokumen yang mengikat semula negara anggota EU," katanya.

Dompok berkata bidang perbincangan dengan Muller dan para pegawai kementerian itu meliputi produk minyak sawit dan kayu dari segi kesahihan pengeluaran dan kelestariannya.

"Memandangkan ada para pegawai Jerman sudah melawat Malaysia, mereka kagum terhadap usaha yang dibuat oleh Malaysia membabitkan pengeluaran minyak sawit secara berkekalan.

"Bagi yang tidak mendapat fakta betul, kini mendapat gambaran yang lebih jelas menerusi interaksi dengan para pegawai Malaysia," katanya.

Dompok berkata Malaysia mempunyai kepentingan dalam memastikan minyak sawit dihasilkan secara mampan memandangkan negara akan meneruskan perniagaan minyak sawit dalam jangka panjang.

"Maksud saya, kami mempunyai 4.5 juta hektar ladang yang ditanami kelapa sawit, dan kami mesti memastikan pasaran sentiasa ada untuknya," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain