suria

Jaminan Makanan Jadi Tumpuan Pemimpin Islam Di Comcec

ISTANBUL: Pelan tindakan mengenai jaminan keselamatan makanan dijangka dibincangkan oleh para pemimpin Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang berhimpun pada sidang kemuncak ekonomi pertama Jawatankuasa Tetap bagi Kerjasama Ekonomi (COMCEC) di sini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pada satu sesi, mereka bersetuju terhadap pelan jaminan keselamatan makanan yang termasuk penubuhan pasukan petugas khas di peringkat sekretariat.

"Pasukan petugas ini akan mencadangkan program jaminan makanan yang sesuai untuk dilaksanakan oleh negara anggota OIC," katanya kepada pemberita sebelum menghadiri sidang kemuncak itu semalam.

Muhyiddin berkata Malaysia sudah bersedia untuk bekerja sama dengan negara anggota OIC dari segi sains dan teknologi dalam pengeluaran makanan selain mendapat bantuan kewangan daripada institusi kewangan antarabangsa seperti IDB.

"Kita hendak supaya di kalangan negara anggota OIC memberi perhatian dan tumpuan untuk meningkatkan pengeluaran makanan. Oleh sebab itu, kita sanggup bekerjasama di kalangan negara-negara anggota untuk meningkatkan pengeluaran makanan di negara masing-masing," katanya.

Contohnya, dalam pengeluaran beras, Malaysia telahpun menggunakan beberapa cara untuk meningkatkan pengeluarannya ke tahap 90 peratus seperti menggunakan anak benih yang lebih baik, penggunaan tanah secara optimum dan meningkatkan infrastruktur dalam sektor itu.

Mengenai standard halal, Muhyiddin berkata standard halal yang digunakan di Malaysia adalah antara yang terbaik digunakan sebagai garis panduan dalam mewujudkan standard halal global yang boleh digunakan oleh negara OIC lain.

"Garis panduan umum OIC mengenai makanan halal, garis panduan untuk badan-badan yang mengeluarkan sijil halal serta garis panduan untuk badan akreditasi halal sah, akan dibentangkan pada mesyuarat COMCEC tahun depan," katanya.

Muhyiddin berkata ia dapat menyegerakan proses untuk menyeragamkan standard halal di kalangan negara anggota OIC.

"Kita mahu usaha supaya menyeragamkan peraturan-peraturan halal di kalangan negara-negara anggota OIC dapat kita tingkatkan kerana kita sedar bahawa bidang ini mempunyai satu potensi yang besar bernilai lebih daripada US1 trilion.

"Sepatutnya negara OIC yang mendahului, bukan sahaja dari segi produk malah perkhidmatan," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata Sistem Keutamaan Perdagangan di kalangan negara anggota OIC (TPSOIC) yang sudah tertangguh selama tujuh tahun, sudah menunjukkan hasil yang positif.

"Memandangkan Bangladesh sudah mengesahkan protokol mengenai sistem tarif keutamaan, kami berharap ia sudah boleh dimulakan sekarang," katanya.

Sistem itu yang memerlukan korum 10 negara anggota mengesahkannya, sepatutnya beroperasi 1 Jan tahun ini," kata Muhyiddin.

Malaysia sudah mengesahkan dan menandatangani perjanjian mengenai sistem itu masingmasing pada 27 Mac 2006 dan 11 Mei, 2006.

Timbalan Perdana Menteri berkata dengan pelaksanaannya, perdagangan sesama negara anggota OIC boleh ditingkatkan.

Dagangan sesama negara anggota OIC baru-baru ini meningkat 16 peratus daripada jumlah dagangan asing negara anggota OIC. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain