suria

Lapor Segera Kepada Tabung Haji Jika Syarikat Minta Bayaran Lebih

MEKAH: Jemaah haji Malaysia yang memilih untuk mengerjakan haji menerusi pakej yang ditawarkan oleh syarikat swasta diminta melaporkan segera kepada pihak Tabung Haji sekiranya syarikat yang mengendalikan mereka mengutip bayaran tambahan ketika di tanah suci.

Pengarah Operasi Pengelola Perkhidmatan Haji, Mat Admara Alang Azizdin berkata ini perlu bagi membolehkan pihak Tabung Haji membuat sisatan sebelum tindakan sewajarnya diambil terhadap syarikat berkenaan.

Beliau berkata syarikat yang diberi lesen oleh Tabung Haji bagi mengendalikan pakej haji tidak dibenarkan samasekali mengutip sebarang bayaran tambahan daripada jemaah haji ketika berada di tanah suci.

"Kadar bayaran serta caj yang dikenakan hendaklah mengikut harga pakej yang ditawarkan seperti yang tertera dalam brosur senarai syarikat yang dikeluarkan oleh Tabung Haji," katanya kepada petugas media Tabung Haji di sini pada Ahad.

Mat Admara berkata syarikat yang terbukti melakukan kesalahan mengutip bayaran tambahan daripada jemaah haji boleh dikenakan tindakan tegas termasuk digantung lesen dan syarikat berkenaan tidak lagi dibenar mengendalikan perkhidmatan haji bagi musim seterusnya.

Katanya jemaah haji juga boleh membuat aduan sekiranya syarikat berkenaan gagal memenuhi tawaran sebagaimana yang dimuatkan dalam brosur yang dikeluarkan oleh Tabung Haji, termasuk dari segi tempat penginapan, makanan serta bilangan orang dalam sesebuah bilik.

Mengenai harga pakej, beliau berkata setiap syarkat mempunyai harga pakej yang berbeza mengikut perkhidmatan tambahan yang disediakan oleh syarikat berkenaan.

"Secara umumnya pakej yang ditawarkan oleh syarikat swasta ialah antara RM18,000 dan RM25,000 sungguhpun ada yang mencecah RM100,000," katanya.

Mat Admara berkata biasanya syarikat swasta akan menawarkan perkhidmatan yang lebih, termasuk dari segi tempat penginapan yang hampir dengan Masjidil Haram, makanan secara buffet serta kemudahan lain ketika berwukuf di Arafah dan melontar di Jamrah dari jarak lebih dekat.

Katanya kini terdapat 28 buah syarikat swasta yang dilesenkan oleh Tabung Haji untuk mengendalikan perkhidmatan haji dan ini membolehkan mereka yang berminat memilih pakej yang sesuai dengan kemampuan masing-masing.

Beliau seterusnya menasihati jemaah haji yang ingin menunaikan haji secara pakej supaya merujuk senarai syarikat yang dilesenkan daripada Tabung Haji sebelum membuat pilihan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain