suria

Presiden Iran Minta Media Sebar Mesej Setiakawan

TEHRAN: Media di rantau Asia-Pasifik perlu berpadu tenaga dan menyebarkan berita serta maklumat yang tepat kepada seluruh dunia, kata Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad.

Media dari rantau itu juga perlu menyebarkan mesej tentang persahabatan, keamanan dan ikatan persaudaraan antara semua negara di dunia.

Beliau membuat gesaan itu pada perjumpaan "mengejut" dengan anggota lembaga eksekutif dan sidang pengarang serta pakar teknikal Pertubuhan Agensiagensi Berita Asia-Pasifik (Oana) yang bermesyuarat di sini pada Ahad.

Lebih 40 wakil daripada 18 agensi berita yang menganggotai pertubuhan itu, termasuk dari Malaysia, Rusia, Jepun, China, Korea Selatan, Indonesia dan India, menghadiri mesyuarat berkenaan yang bertemakan "Mencari Keseimbangan Dalam Media".

Agensi berita Iran, IRNA, memetik Ahmadinejad sebagai berkata bahawa media yang dipengaruhi kuasa Barat mengamalkan pendekatan berat sebelah berhubung isu tertentu seperti usaha memerangi keganasan, serangan Zionis di Gaza dan penentangan terhadap pengeluaran serta perluasan penggunaan senjata pemusnah besar-besaran.

Ditubuhkan pada 1961 melalui inisiatif UNESCO, Oana bermatlamat mewujudkan pertukaran berita secara terus dan bebas antara agensi berita di rantau berkenaan yang dihuni lebih separuh daripada jumlah penduduk dunia.

Mengenai program nuklear Iran, Ahmadinejad berkata tiada tawarmenawar bagi perkara yang menjadi hak mutlak negaranya.

Sambil menyatakan kesediaan Iran untuk menjalin kerjasama secara membina dengan negara Barat dalam bidang teknologi nuklear, beliau berkata kerjasama dalam bidang itu akan memberi manfaat kepada Barat.

Anggota perwakilan Oana juga mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Iran Manuchehr Mottaki pada Ahad malam dan melakukan kunjungan sehari pada Isnin ke Shiraz "kota raya penyair, bunga dan taman" yang terletak di barat daya Iran.

Sementara itu, tuan rumah persidangan, Mehr News Agency (MNA), memeterai perjanjian kerjasama dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Yonhap dari Korea Selatan dan Antara dari Indonesia. Bernama diwakili pengurus besarnya Hasnul Hassan, manakala MNA oleh pengarah urusannya Parviz Esmaeili.

Melalui perjanjian itu, agensi berita berkenaan akan bekerjasama dalam bidang pertukaran berita, teknologi dan latihan. BERNAMA

Artikel Lain