SINGAPURA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini malam semalam bagi menghadiri mesyuarat Ketua-ketua Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) yang akan berlangsung hujung minggu ini.
Najib yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, serta rombongan disambut oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri Singapura Lim Swee Say di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi.
Turut menyambut ketibaan perdana menteri ialah Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Md Hussin Nayan.
Setibanya di hotel, Najib terus menjalankan tugas rasmi dengan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Bosnia dan Herzegovina Dr Haris Silajdzic.
Hari ini, Najib akan menghadiri beberapa acara yang disusun untuk beliau sepanjang hari termasuk menyertai Sidang Kemuncak CEO yang diadakan bersempena Apec, menemui beberapa pemimpin korporat utama, mengadakan perbincangan dua hala dengan pembesar asing dan menjadi hos majlis makan malam untuk rakyat Malaysia.
Pada sidang kemuncak CEO, Perdana Menteri akan berucap mengenai tajuk "Adakah Keadaan Paling Teruk Dalam Krisis Global Sudah Berakhir?". BERNAMA


