suria

Monorel Untuk Jemaah Haji Tahun Depan

MEKAH: Masalah kesesakan lalu lintas antara Mekah, Mina, Arafat dan Mudzalifah pada musim haji dijangka selesai tahun depan apabila sistem monorel mula beroperasi, lapor akhbar tempatan berbahasa Inggeris Arab Saudi, Arab News.

Laporan yang memetik timbalan menteri perbandaran dan hal ehwal pedalaman Habeeb Zain Al-Abidine, sebagai berkata monorel itu boleh membawa 500,000 jemaah setiap enam hingga lapan jam.

"Ini akan membantu mengurangkan sekurangkurangnya 30,000 bas kecil dan besar daripada perkhidmatan haji," kata Zain Al-Abidene.

Beliau berkata projek monorel itu, yang dianggar menelan belanja SR6.75 bilion akan membawa perubahan besar dalam pengangkutan jemaah haji, yang merupakan masalah besar pengurusan haji.

"Projek ini akan mengurangkan kesesakan di kawasan terbabit, mengurangkan tekanan di jalan raya dan membantu jemaah tiba lebih awal ke destinasi mereka," katanya.

Sementara itu, akhbar berkenaan melaporkan 11 pusat pemeriksaan yang lengkap diwujudkan berhampiran semua pintu masuk ke Mekah bagi mengesan jemaah yang cuba memasuki bandar itu secara haram.

"Kita menempatkan petugas di semua pintu masuk udara, darat dan laut untuk menyambut kedatangan jemaah dan memudahkan kemasukan mereka ke Mekah dan Madinah," kata komander psukan keselamatan haji untuk pasport Kol Ayied bin Taghaleeb Al-Harbi.

Al-Harbi berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang cuba menyeludup masuk jemaah dalam negeri yang tidak membawa permit haji.

"Penyeludup akan didenda SR10,000, penjara enam bulan atau keduaduanya sekali," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain