suria

Tiada sekatan untuk mana-mana jemaah tunai haji, kata kerajaan Arab Saudi

MEKAH: Kerajaan Arab Saudi hari ini memberi jaminan bahawa ia tidak akan menyekat sesiapa sahaja, walaupun yang dianggap termasuk dalam kumpulan berisiko tinggi dijangkiti Influenza A(H1N1) atau selesema babi, daripada menunaikan haji tahun ini, menurut Menteri Kesihatan Abdullah Al-Rabeeah yang dipetik oleh akhbar berbahasa Inggeris The Arab News.

Al-Rabeeah dipetik sebagai berkata adalah menjadi tanggungjawab individu untuk meletakkan syarat sama ada untuk membenarkan atau menyekat kumpulan seperti kanak-kanak, warga tua, dan wanita hamil untuk menunaikan haji tahun ini.

"Kerajaan Arab Saudi tidak menyekat sesiapa jua, kerana Haji ini adalah soal ibadah," kata Al-Rabeeah.

Beliau berkata satu juta dos vaksin jangkitan itu akan termasuk dalam fasa pertama kempen menangani jangkitan itu; dengan kumpulan jemaah yang tinggal di Arab Saudi, pekerja kesihatan serta lain-lain pegawai yang terbabit dengan Haji, terutama di Mekah dan Madinah; menjadi kumpulan yang diutamakan untuk suntikan vaksin itu.

Kerja-kerja suntikan vaksin itu diluluskan oleh Saudi Food & Drug Authority (SFDA), US Food and Drug Administration (FDA), dan European Medicines Evaluation Agency (EMEA).

Al-Rabeeah berkata Kementerian Kesihatan sudah menguji vaksin itu dan menurutnya langkah suntikan vaksin kepada orang ramai itu adalah mengikut cadangan-cadangan oleh SFDA dan lain-lain pertubuhan global yang diiktiraf.

"Orang ramai tidak seharusnya risau mengenai kesan vaksin ini. Ia tidak membawa kesan yang serius terhadap kanak-kanak mahupun orang dewasa," katanya.

Beliau berkata hanya dua kes selesema babi dilaporkan sehingga ini daripada setengah juta jemaah yang sudah tiba di Arab Saudi, dan sehingga kini tidak ada tanda-tanda yang penyakit itu akan mengakibatkan jumlah jemaah haji berkurangan tahun ini.

Sehingga ini lebih 7,000 kes-kes selesema babi dilaporkan di Arab Saudi membabitkan 62 kematian, dan menurut Al-Rabeeah yang dipetik akhbar itu, lebih 95 peratus daripada mangsa jangkitan itu sudah pulih sepenuhnya.

Sementara itu akhbar tersebut melaporkan bahawa kempen media yang dilancarkan oleh kerajaan, menggesa jemaah haji supaya lebih bertanggungjawab semasa mengerjakan haji dan berusaha untuk melaksanakan ibadah itu dengan sempurna.

"Kempen tahun ini adalah terjemahan kepada pelan pembangunan kepada rantau Mekah di bawah motto 'Development of Man and Place'," kata Pengerusi Jawatankuasa Haji Pusat Putera Khaled Al-Faisal, yang dipetik akhbar itu semasa melancarkan kempen berkenaan.

Beliau berkata kempen itu disasarkan untuk menggalakkan perlakuan yang lebih tertib serta bertanggungjawab di kalangan jemaah haji, dan mendedahkan mereka dengan cara yang betul mengerjakan ibadah itu.

"Agama kita adalah satu bentuk kerjasama, disiplin dan ketamadunan, tidak perlu sebarang bentuk perlakuan yang bertentangan dengan syarat dan peraturan, atau perbuatan yang boleh membahayakan orang ramai," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain