suria

Presiden gesa pegawai polis, AGO digantung kerja

JAKARTA: Presiden Susilo Bambang Yudhoyono meminta supaya digantung tugas pegawai polis dan pegawai Pejabat Peguam Negara (AGO) yang nama mereka disebut dalam perbualan yang dirakam secara rahsia yang menunjukkan wujud pakatan untuk menganiaya pegawai badan pencegahan rasuah.

"Saya telah arahkan (ketua polis negara dan Peguam Negara) supaya namanama yang disebut dalam perbualan yang dirakam secara rahsia itu digantung tugas supaya penyiasatan dapat dijalankan dengan lancar," kata Presiden pada sesi pleno Kabinet di sini pada Khamis.

Presiden juga meminta Menteri Penyelaras bagi Politik, Undang-undang dan Hal Ehwal Keselamatan menyediakan perlindungan kepada dua Timbalan Ketua Komisi Pembasmian Korup (KPK) Bibit Samad Rianto dan Chandra Hamzah, dan saksi utama dalam kes intipan dan rakaman rahsia itu supaya mereka dapat memberikan keterangan berhubung kes itu.

"Saya gesa perlindungan bagi keselamatan mereka. Perlindungan saksisaksi atau siapa juga adalah penting kerana negara ini adalah sebuah negara yang mematuhi undang-undang," kata Presiden itu seperti dipetik agensi berita Antara.

Menegaskan yang benar tetap benar dan salah tetap salah, beliau berkata suspek yang didapati tidak bersalah di mahkamah akan dibebaskan tetapi jika mereka didapati bersalah, mereka akan dihukum.

Susilo berkata penguatkuasaan undang-undang tidak wajar dipermainkan lebih-lebih lagi membabitkan rasuah.

Sementara itu, laporan lain menyebut dua pegawai berkenaan Ketua Jabatan Penyiasatan Jenayah Polis Nasional, Susno Duaji dan pegawai di Jabatan Peguam Negara, Abdul Hakim Ritonga telah meletakkan jawatan mereka semalam.

Nama kedua-dua mereka disebut dalam perbualan itu yang dilaporkan menunjukkan wujud pakatan untuk menganiaya Bibit dan Chandra.

Antara melaporkan, perbualan yang dirakamkan secara rahsia itu didengarkan di Mahkamah Perlembagaan pada Selasa, menunjukkan wujud pakatan untuk menganiaya pemimpin KPK dan mencemarkan imej badan pencegahan rasuah itu. BERNAMA

Artikel Lain