suria

Menteri yakin Susilo tidak terlibat reka kes KPK

JAKARTA: Menteri Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Indonesia Patrialis Akbar yakin Presiden Susilo Bambang Yudhoyono tidak terlibat dalam kes merekacipta tuduhan jenayah ke atas dua pemimpin Komisi Pembanterasan Korupsi (KPK), yang menjadi isu hangat di negara ini sekarang.

"Presiden sama sekali tidak terlibat. Sekecil hujung kuku pun (tidak terlibat)," kata Patrialis selepas menghadiri persidangan menguji bahan Undang-Undang KPK di Mahkamah Konstitusi (MK) di sini, Selasa.

Patrialis berkata dakwaan 'rekayasa' (rekacipta) itu merupakan permainan orangorang yang terlibat dalam rakaman percakapan telefon yang disyaki antara pengusaha Anggodo Widjojo dengan beberapa pegawai tinggi penguatkuasa undang-undang, yang didengar di MK semalam.

Beliau mahu siapa pun yang mengaitkan atau menjual nama Presiden Susilo disiasat secepatnya kerana ia merupakan fitnah yang mencemarkan nama baik presiden.

"Saya memohon dengan hormat supaya ini (pengaitan nama presiden) jangan dianggap suatu kebenaran," katanya seperti dipetik agensi berita Antara, selepas rakaman percakapan Anggodo itu diperdengarkan kepada umum pada persidangan itu dan juga disiarkan secara langsung melalui televisyen.

Patrialis berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada majlis hakim Mahkamah Konstitusi untuk membuat kesimpulan berkaitan isi rakaman percakapan telefon itu.

MK memanggil persidangan itu selepas dua pemimpin KPK itu Bibit Samad Rianto dan Chandra M. Hamzah memohon dikaji satu fasal Undang-undang Nombor 30 Tahun 2002 tentang KPK, berkaitan dengan pimpinan KPK berhenti atau diberhentikan kerana menjadi terdakwa kes jenayah.

Ramai rakyat Indonesia percaya tuduhan ke atas Bibit dan Samad direka-reka oleh polis dan banyak yang telah turun ke jalanjalan raya berdemonstrasi menyatakan sokongan kepada Bibit dan Samad serta meminta mereka segera dibebaskan oleh polis yang kini menahan kedua-duanya.

Banyak di kalangan rakyat Indonesia termasuk cendekiawan, bekas pemimpin negara dan ahli akademik serta pelajar universiti melihat penahanan kedua-dua mereka sebagai langkah polis menunjukkan kekuatan yang mahu dilihat lebih berkuasa daripada KPK, walaupun polis menafikannya dan mendakwa mereka bertindak mengikut undang-undang.

Sementara itu, laman web berita detikcom melaporkan satu daripada perbualan dalam rakaman yang mengambil masa lebih empat jam untuk didengar seluruhnya itu, menyebut bahawa ada perbualan mengenai rancangan membunuh Chandra di penjara.

Rancangan itu menyebabkan peguam Chandra meminta polis membebaskan Chandra dari tahanan atau setidak-tidaknya meningkatkan kawalan keselamatannya. BERNAMA

Artikel Lain