suria

Asean cadang tubuh Majlis Industri Pertahanan

BANGKOK: Negara anggota Asean, (tidak termasuk Myanmar) yang membelanjakan US$18.75 bilion bagi kelengkapan baru pertahanan pada 2008 telah bersetuju untuk menubuhkan Majlis Industri Pertahanan yang hampir sama dengan Agensi Pertahanan Eropah dan Majlis Industri Pertahanan Eropah.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berkata walaupun jumlah US$18.75 bilion itu adalah kecil berbanding dengan perbelanjaan pertahanan global, ia tidak termasuk perbelanjaan berkaitan seperti sokongan, logistik dan latihan.

Menurutnya, 10 negara anggota kumpulan itu berpendapat kerjasama seumpama itu di bawah Majlis Industri Pertahanan dan Keselamatan Asean (Asdic) akan membolehkan mereka meneroka pasaran pertahanan dan keselamatan yang begitu besar di rantau ini dan mengurangkan pergantungan kepada negara lain di dunia.

"Sebahagian daripada para menteri mencadangkan supaya kita memasukkan penggiat industri di dalam Majlis Pertahanan dan Keselamatan Asean (Asdic) yang dicadangkan itu. Indonesia, sebagai contoh, meminta kita menyediakan laporan komprehensif mengenai perkara ini," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Permukiman Menteri-menteri Pertahanan Asean di sini.

Beliau berkata rakan sejawatannya dari Asean telah mencadangkan supaya mereka memajukan industri itu berdasarkan kepada kemudahan dan kekuatan yang boleh diperoleh di setiap negara dan juga memulakan pasaran khusus dan kemudiannya bekerjasama dengan penggiat global.

Ahmad Zahid berkata di Barat, industri pertahanan telah menjadi satu saluran penting terhadap pelbagai bentuk penerokaan teknologi, yang menghasilkan faedah sampingan dalam sektor awam dan menjadi sumber utama pendapatan bagi negaranegara peserta.

Beliau berkata negara seperti Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Brazil, Afrika Selatan, India dan China, yang juga mengguna pakai pendekatan yang sama, telah membangunkan industri pertahanan dan berasaskan dwipenggunaan yang amat kompetitif.

Kerjasama yang dicadangkan itu, katanya akan menggabungkan pelbagai kemudahan industri dan teknologi seperti aeroangkasa, senjata, sektor automotif atau perkapalan yang telahpun dibangunkan oleh beberapa negara Asean.

Memberikan contoh inisiatif sedemikian di Eropah, katanya ia boleh membabitkan projek biayaan kerajaan termasuk pembinaan kapal, kereta kebal dan lainnya yang bukan hanya untuk tujuan ketenteraan sematamata tetapi bagi usaha kemanusiaan, bantuan bencana alam, latihan bersama seperti latihan, rondaan sempadan dan misi pengaman.

"Pasti akan akan timbul isu dan cabaran daripada segi hak milik teknologi, isu keselamatan, kawalan eksport dan kepercayaan. Tetapi kita perlu mulakannya. Ia tidak semestinya bermula dengan pembuatan, kita juga boleh kaji daripada segi penyelenggaraan, alat ganti dan bentuk sokongan logistik yang lain," katanya.

Malaysia, katanya telah mengambil pelbagai langkah untuk meningkatkan industri itu dengan menawarkan tapak seluas 486.8 hektar di Sungkai, Perak bagi kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan kilang mengeluarkan produk pertahanan yang telah mendapat respons baik daripada Korea, Amerika Syarikat dan Eropah. BERNAMA

Artikel Lain