suria

TPM Thailand tidak berminat dengan cadangan PULO Malaysia sebagai orang tengah

BANGKOK: Timbalan Perdana Menteri Thailand Suthep Thaugsuban yang berpengaruh memandang sepi terhadap gesaan puak pemisah Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO) agar Malaysia bertindak sebagai orang tengah bagi menyelesaikan konflik Selatan Thailand.

Suthep, yang bertanggungjawab mengenai hal keselamatan, memberitahu media beliau percaya cadangan itu tidak akan berhasil.

"Namun saya tidak akan berkata apa-apa yang akan hanya menimbulkan pertelingkahan," katanya semasa ditanya mengenai kenyataan Timbalan Presiden PULO Kasturi Mahkota bahawa mereka bersedia untuk berunding dengan kerajaan Thailand menerusi pihak ketiga, termasuk Malaysia.

Meskipun begitu, Kasturi memberitahu sebuah akhbar Malaysia bahawa kerajaan Thailand setakat ini tidak bersedia untuk menjadikan Malaysia sebagai orang tengah kerana mereka berpendapat negara jiran itu akan memihak berikutan faktor agama, bangsa dan sejarah.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini berkata kebebasan yang diperlukan puak pemisah itu tidak wajar, tetapi Thailand seharusnya menawarkan satu tahap autonomi kepada wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Najib telah menerima jemputan rakan sejawatannya Abhisit Vejjajiva untuk melawat wilayah bergolak pada bulan depan selepas rundingan tahunan di bandar raya negara itu.

Lebih 3,600 orang terkorban dalam keganasan yang berlaku setiap hari sejak kumpulan pemisah melancarkan semula serangan bersenjata pada Januari 2004 untuk mendapatkan kemerdekaan bagi wilayah Pattani, Narathiwat dan Yala yang bersempadan dengan Malaysia.

Bangkok, yang telah mengerahkan lebih 60,000 anggota tentera ke kawasan itu berkata angka keganasan telah berkurangan berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini, tetapi kejadian letupan bom dan tembakan masih berlaku.

Mengenai rancangan pengerusi parti pembangkang, Puea Thai Party Chavalit Yongchaiyudh yang juga bekas perdana menteri untuk melawat Malaysia dan mencadangkan kerajaan autonomi 'Bandar Pattani', Suthep berkata beliau tidak bimbang kerana ia merupakan isu dalaman.

"Kami akan meneruskan dengan dasardasar kami," katanya.

Chavalit berkata beliau memohon mengadakan pertemuan dengan Najib minggu depan untuk membincangkan beberapa perkara kepentingan bersama, antara lain ialah konflik di Selatan Thailand, padi, beras dan industri halal. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain