suria

TUDM dapatkan bantuan China selenggara Sukhoi

BEIJING: Malaysia memperkukuhkan hubungan ketenteraan udaranya dengan China dan memohon bantuan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) negara itu untuk penyelenggaraan dan sokongan logistik jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) jenis Sukhoi.

Panglima TUDM Jen Datuk Seri Rodzali Daud berkata Malaysia juga bercadang untuk membeli sesetengah barangan kelengkapan tentera China.

"China telah berkembang menjadi kuasa besar di rantau ini dan mempunyai teknologi yang lebih maju, dan hubungan kita dengan China kini semakin bertambah baik," katanya kepada Bernama di sini.

Rodzali adalah antara panglima tentera udara dari 34 negara yang berada di sini untuk menghadiri forum antarabangsa selama dua hari mulai hari ini sempena sambutan ulangtahun ke60 Tentera Udara PLA (PLAF).

Beliau turut mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatan dari China, Jen Xu Qiliang, di ibu pejabat PLAF, malam tadi.

"Mereka boleh membantu kita dalam banyak bidang seperti untuk bahagian dan penyelenggaraan untuk jet pejuang SU30.

Sebenarnya, Malaysia juga sedang mencari sesetengah produk tentera China," kata TUDM mempunyai 18 jet pejuang Sukhoi SU30 buatan Rusia manakala China juga memiliki banyak pesawat pejuang buatan Rusia termasuk Sukhoi SU30.

Rodzali berkata TUDM akan mengukuhkan kerjasama dengan PLAF. Pada masa lalu ia telah menyertai program pertukaran pegawai dan perkongsian maklumat keselamatan serantau.

Terdapat enam anggota tentera Malaysia kini mengikuti pengajian di Universiti Pertahanan China dan Maktab Turus China dan negara itu bersetuju untuk menghantar pelajarnya menuntut di Kolej Pertahanan Malaysia tahun depan.

Ia merupakan kumpulan pertama pelajar China. Delegasi TUDM akan menghadiri pertunjukan udara PLAF dan menyaksikan pameran peralatan tentera udara di Shahe di sini esok selain melawat Muzium PLAF pada keesokannya.

Kumpulan itu juga akan melawat pangkalan udara Jining di Shandong pada Isnin untuk menyaksikan pameran jet pejuang buatan China sebelum pulang ke Kuala Lumpur. - BERNAMA

Artikel Lain