suria

Rais ajak negara Asean wujudkan jaringan media Asean

VIENTIANE: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini mengajak negara-negara anggota Asean mewujudkan satu jaringan berita dan maklumat Asean.

Katanya, pengwujudan kemudahan tersebut secara serius oleh anggota-anggota Asean amat penting bagi mempertingkatkan penyebaran berita dan maklumat mengenai negara-negara Asean ke arah mencapai matlamat mewujudkan Komuniti Asean 2015.

"Selama ini kita (Asean) lebih banyak khidmat bibir sahaja tentang betapa pentingnya negaranegara Asean bekerjasama dalam meningkatkan kerjasama informasi dan media, tetapi tiada kemudahan (mekanisme) untuk itu," katanya kepada RTM dan Bernama di sela-sela Persidangan Menteri-menteri Asean bertanggungjawab bagi Penerangan (AMRI) ke10 di ibu negara Republik Demokratik Rakyat Lao di sini.

Rais berkata kemudahan itu adalah antara dua perkara pokok yang dikemukakan oleh Malaysia pada persidangan tersebut yang difikirkan amat perlu dilaksanakan oleh negara-negara anggota perkumpulan itu bagi mencapai matlamat Komuniti Asean.

Perkara kedua yang tidak kurang pentingnya ialah perlunya negara-negara meningkatkan kerjasama dalam menerbitkan khidmat kandungan yang sesuai untuk mengisi saluran-saluran komunikasi dan maklumat negara-negara anggota, kata beliau.

Negara-negara Asean, kata Rais, harus memikirkan secara bersama untuk memajukan industri kandungan sendiri yang memberi gambaran tentang kebudayaan dan nilai-nilai negara-negara anggota.

"Masyarakat Asean pada masa ini terlalu bergantung kepada kandungan barat sama ada dalam bentuk filem dan animasi serta lainlainnya," ujar beliau.

Kenapa kita tidak wujudkan industri kandungan Asean sendiri secara kerjasama dengan rakanrakan sekutu Asean Campur Tiga iaitu China, Korea Selatan dan Jepun, tambahnya.

Beliau berkata, rakan sekutu tersebut selama ini banyak "menerima" daripada Asean dan peluang untuk mereka menyumbang adalah banyak dalam kerjasama mengembangkan industri kreatif kumpulan serantau itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain