suria

Arab Saudi buka makmal canggih untuk saring virus A(H1N1)

MEKAH: Kerajaan Arab Saudi akan menubuhkan sebuah makmal canggih di Arafat bagi membolehkan jemaah menjalani saringan virus influenza A(H1N1) menjelang musim haji akhir bulan ini.

Laporan akhbar berbahasa Inggeris, Arab News, semalam memetik Menteri Kesihatan Dr Abdullah AlRabeah sebagai berkata jemaah tidak perlu panik kerana mereka telah mengambil semua langkah yang perlu bagi menangani penyakit itu.

"Terdapat ciri khas di semua hospital, yang dilengkapkan dengan peralatan canggih, iaitu hospital berkenaan boleh diubah menjadi unit rawatan rapi (ICU)jika diperlukan," katanya selepas memeriksa kemudahan kesihatan di kotakota suci di negara ini semalam.

Katanya sebuah hospital baru dengan kelengkapan 100 buah katil telah dibuka di Jeddah.

Dr Abdullah juga melawat pusat kesihatan di Arafat dan hospital baru dengan kelengkapan 219 katil yang dibina di Mina. Terdapat 15 buah klinik di Mina dengan jumlah 140 katil disediakan.

Katanya di Mekah sahaja terdapat kira-kira 100 buah klinik dengan 1,000 katil dan 150 buah ambulan termasuk 85 kenderaan bersaiz kecil untuk kemudahan jemaah.

Dalam perkembangan lain, akhbar itu melaporkan, Pemegang Dua Masjid Suci, Raja Abdullah, telah mengarahkan supaya kerajaan negara itu menghoskan 1,000 jemaah haji dari pelbagai negara tahun ini.

Ianya adalah sebahagian daripada program jemaah jemputan yang diselia oleh Kementerian Hal Ehwal Islam, Awqaf, Da'wah dan Bimbingan.

"Titah raja itu menunjukan minat baginda dalam kebajikan warga Islam di seluruh dunia dan hasratnya meningkatkan hubungan Islam berdasarkan Al-Quran dan Sunnah," kata Menteri Hal Ehwal Islam, Saleh AlAsheikh.

Katanya jemaah jemputan itu adalah daripada benua Eropah Timur, negara-negara Balkan, Asia Tengah, Asia dan Afrika. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain