suria

Pakistan masih tarik FDI walau hadapi masalah keselamatan

LAHORE: Walau pun mengalami masalah keselamatan, faktor tenaga kerja yang murah dan kemudahan awam Pakistan boleh menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang termasuk dari syarikat Malaysia, terutama ke estet perindustri bersepadunya yang pertama Estet Perindustrian Sundar di sini.

Lebih daripada 20 peratus daripada lot industri 674 hektar telah dilanggani oleh syarikat multinasional (MNC), terutama sekali dari Eropah, kata Ketua Pegawai Eksekutif Punjab Industrial Estates Development and Management Company (PIEDMC) Sabir P Chohan.

Katanya syarikat pembungkusan Sweden, Tetra Pak International, yang sedang mencari tapak bagi pusat serantaunya, telah memilih estet perindustrian itu berikutan faktor yang kompetitif yang ditawarkannya.

Syarikat itu kini melabur 400 juta euro di dalam plot 20 hektar di estet perindustrian itu, yang bermakna "cantik" di dalam bahasa Sanskrit, katanya kepada sekumpulan wartawan Malaysia yang sedang melawat negara itu Sabtu.

MNC yang lain yang menubuhkan kilang di estet perindustrian itu ialah Pepsi Cola International Ltd yang telah menubuhkan kilang pemprosesan makanan dan snek bagi dieksport ke Afghanistan, Kansai Paint dari Jepun, kilang motosikal tiga roda LG, Unilever, Haier and Stiefle sebuah syarikat GlaxoSmithKline yang mengeluarkan produk farmaseutikal.

Chohan berkata kini 60 industri di kawasan itu telah memulakan pengeluaran, yang termasuk Kansai, Pepsi, LG dan Haier manakala 195 lagi masih di dalam peringkat pembinaan dan 120 lagi di dalam peringkat mendapatkan kelulusan dan reka bentuk.

Katanya kebanyakan industri tempatan terdiri daripada industri kecil dan sederhana.

Estet perindustrian itu mempunyai satu kawasan keselamatan dan komersilnya yang tersendiri yang termasuk sebuah hotel, satu loji kuasa 390 megawatt yang akan diwujudkan seperti pengeluar kuasa bebas (IPP) Malaysia dan satu loji rawatan bahan buangan yang disatukan.

"Kami berharap untuk mencapai satu bahagian utama perindustrian 2012 dengan mengambil kira pergerakan pantas keupayaan Sundar menarik pelaburan kira-kira 8.0 bilion rupees (kira-kira AS$96.14 juta), mewujudkan peluang pekerjaan bagi kira-kira 15,000 pekerja dan menjana eksport antara AS$25-AS$30 juya," katanya.

Chohan berkata PIEDMC sedang membesarkan estet perundstrian itu kepada fasa kedua berikutan mencatatkan peningkatan permintaan bagi mendapatkan lot di estet perindustrian itu.

Beliau berharap syarikat Malaysia akan melabur di sektor pengilangan di negara itu yang mempunyai pasaran pengguna yang besar serta bagi eksport ke Timur Tengah, Asia Tengah dan hingga ke India.

"Pakistan juga sedang berusaha mewujudkan satu taman perindustrian di Punjab melalui satu usahasama antara kerajaan Punjab dan usahawan atau syarikat Malaysia," katanya.

Katanya PIEDMC akan turut membina tiga lagi estet perindustrian di sepanjang Lebuhraya LahoreSalkot serta menaik taraf estet perindustyrian sedia ada.

Menurutnya, banyak syarikat Malaysia seperti kumpulan syarikat Maxcorp telah melabur di Pakistan, terutama sekali di dalam sektor pembinaan di Wilayah Punjab.

Syarikat itu terlibat dengan aktif di dalam pelbagai projek, yang kebanyakannya projek perumahan mewah.

Maxcorp dilaporkan telah memasuki Pakistan pada 1999 dan mendapat kontrak untuk memajukan Padang Golf Royal Palm berharga AS$55 juta di Lahore dan sejak itu, ia telah mendapat banyak projek lain seperti pembangunan DA Country & Golf Club di Karachi, Jacaranda Club bagi Perumahan Pertahanan Islamabad dan Mangla View Resort.

"Tenaga National Bhd (TNB) turut terlibat dalam sektor kuasa. Mereka memiliki dan mengendalikan loji kuasa 235MW," kata Sabir.

Bandar Raya Developments baru-baru ini menyiapkan satu kompleks golf mega dan hiburan dan satu projek perumahan dengan Lembaga Perumahan Pertahanan Lahore yang termasuk hartanah komersil, pusat peranginan golf dan projek lain yang berkaitan di atas kawasan lebih 160 hektar (400 ekar).

Arash Venture SDHb, adalah satu syarikat Malaysia yang terlibat di dalam projek perumahan mega yang mengandungi 4,500 pangsapuri dengan Lembaga Perumahan Pertahanan di Karachi manakala Petronas Carigali Pakistan Ltd terlibat dalam eksplorasi minyak.

Sebuah syarikat hartanah Malaysia, RENEXUS, telah membayangkan bahawa mereka akan melaksanakan satu pembangunan projek perumahan 50,000 rumah kos rendah dan sederhana di pusat-pusat perbandaran.

Chohan berkata Ketua Menteri Punjab Mian Muhammad Shahbaz Sharif telah menjemput mereka melaksanakan pembinaan perumahan bagi kumpulan berpendapatan rendah dan pertengahan bagi menampung kekurangan rumah. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain