suria

Jemaah haji terharu lawat Bukit Uhud

MADINAH: Jemaah haji Malaysia terharu sehingga ada yang mengalirkan air mata ketika menziarahi kawasan bukit Uhud di sini yang pernah menjadi medan pertempuran antara tentera Muslimin dan tentera Musyrikin Mekah pada tahun 3 Hijrah.

Lebih terharu apabila mereka melawat kawasan perkuburan syuhada, di mana 70 pahlawan Islam yang gugur syahid dalam peperangan itu disemadikan.

Seorang jemaah haji, Rosni Mahmud Zahidi tidak dapat menahan sebak apabila melawat tanah perkuburan syuhada dan berkata ia melambangkan perjuangan kental para sahabat serta umat Islam terdahulu mempertahankan Nabi Muhammad S.A.W. dan ajaran yang dibawanya.

"Pengorbanan mereka itu sungguh menginsafkan saya tentang betapa kerdilnya diri kita ini berbanding umat Islam terdahulu yang sanggup menggadaikan nyawa demi mempertahankan Islam," katanya kepada petugas media Malaysia yang membuat liputan musim haji tahun ini.

Suami beliau, Mohd Marzuki Mohd Rajis berkata tanpa pengorbanan umat Islam terdahulu mustahil agama Islam dapat berdiri megah di serata pelusuk dunia seperti yang dapat dilihat sekarang.

"Saya berterima kasih kepada Tabung Haji kerana mengaturkan lawatan ini, Ia memberi saya keinsafan pada diri saya dan memberi semangat kepada saya untuk menghadapi apa juga masalah ketika memunaikan ibadah haji nanti," katanya.

Jabal Uhud adalah nama sebuah bukit, yang terletak kirakira 5km dari pusat Bandar Madinah. Di lembah bukit ini pernah terjadi peperangan dahsyat antara 700 orang tentera kaum Muslimin dengan 3,000 orang tentera kaum Musyirikin Mekah.

Dalam pertempuran itu, tentera Muslimin berjaya mengalahkan tentera Musyrikin Mekah setelah berlaku pertempuran yang dahsyat sungguhpun Nabi Muhamad sendiri cedera dan bapa saudaranya Hamzah Abdul Mutalib, syahid.

Sementara itu, seramai 5,310 jemaah Haji Malaysia telah pun selamat sampai di Madinah setakat ini menerusi 14 penerbangan sewa khas Tabung Haji.

Menurut seorang jurucakap Tabung Haji, 349 petugas Tabung Haji pula telah pun berada di Arab Saudi bagi membantu urusan jemaah haji sepanjang mereka berada di negara ini.

Jemaah Haji Malaysia kini berada dalam keadaan sihat dan sedang melakukan ziarah yang diatur oleh para petugas Tabung Haji. Sejumlah 26,000 jemaah Haji Malaysia akan menunaikan ibadah haji tahun ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain