suria

Rakyat Malaysia diusir selepas gagal peroleh suaka

MELBOURNE: Rakyat Malaysia adalah antara golongan yang diusir selepas gagal mendapatkan suaka sebagai 'pelarian' di Australia tahun lepas.

Mereka sebelum itu tiba dengan menaiki kapal terbang dan memohon perlindungan di negara ini.

Pelarian bukan tulen yang lain terdiri daripada rakyat Indonesia, India dan China.

Warga China mewakili 30 peratus daripada golongan yang memohon perlindungan, diikuti Sri Lanka (lapan peratus), Malaysia, Indonesia, Iraq dan India.

Setiap hari, sekurang-kurangnya 13 pemohon suaka memasuki Australia melalui lapangan terbang, mewakili 30 kali ganda jumlah orang hanyut yang dikatakan "membanjiri" seluruh sempadan maritim kita, menurut laporan Sunday Telegraph.

Sejumlah 4,768 'orang pesawat' lebih 96 peratus memohon untuk mendapatkan status pelarian tiba melalui penerbangan tahun lepas, dengan menggunakan visa sah atas urusan melancong, perniagaan dan visa lain berbanding 161 orang yang tiba dengan bot bagi tempoh yang sama tahun lepas, kata akhbar itu.

'Orang pesawat' berkemungkinan bukan merupakan pelarian yang tulen berbanding 'orang hanyut', dengan hanya kira-kira 40-60 peratus diberikan visa perlindungan, berbanding 85-90 peratus orang hanyut yang didapati merupakan pelarian yang tulen.

Antara 2007 dan tahun lepas, 3,987 permohonan diterima, dan daripada jumlah itu, 1,930 diluluskan.

Pada masa 'orang hanyut' ditahan di Christmas Island dan tuntutan mereka diproses, 'orang pesawat' pula hidup dalam komuniti dan dibenarkan bekerja di bawah perubahan dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan Rudd, kata akhbar itu.

Pakar memberitahu akhbar itu bahawa sedikit sahaja rakyat Australia memahami bahawa 'orang hanyut' mewakili hanya sebahagian kecil daripada pengambilan pelarian oleh negara ini.

Australia akan mengambil 13,750 pelarian menerusi program kemanusiaannya bagi tempoh 2009-2010, meningkat sebanyak 250 orang berbanding tahun lepas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain