suria

Lima negara tolak wakil masyarakat madani di Sidang Kemuncak Asean

HUA HIN: Kerajaan Kemboja, Laos, Myanmar, Filipina dan Singapura menolak kumpulan masyarakat madani dari negara masing-masing pada Sidang Kemuncak Asean ke-15 di sini.

Debby Stothard, dari Rangkaian Alternatif Asean, berkata mereka dimaklumkan oleh Kementerian Luar Thai pada 11 malam semalam bahawa para pemimpin berkenaan tidak akan bertemu dengan lima wakil yang dicalonkan oleh kumpulan madani itu.

"Beberapa kerajaan misalnya Singapura, malah menggantikan calon itu dengan wakil mereka sendiri," katanya ketika Sidang Kemuncak Asean ke15 bermula di Dusit Thani Hotel di resort peranginan tepi laut di sini pada Jumaat.

Beliau berkata baki lima wakil dari Brunei, Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam diberitahu supaya menghadiri mesyuarat pada 7 pagi Jumaat, lima jam sebelum mesyuarat tidak rasmi antara para pemimpin dan kumpulan masyarakat madani itu dijadual berlangsung.

Stothard berkata kumpulan madani itu juga kesal kerana wakil mereka tidak dibenarkan bercakap pada pertemuan 30 minit itu, sebaliknya hanya seorang ahli akademik dari Chulalongkorn University sahaja yang dibenarkan bercakap.

"Kami masih berusaha mendapatkan lebih ramai orang untuk bercakap pada mesyuarat berkenaan," katanya. Wakil masyarakat madani yang ditolak itu ialah Khin Ohmar (Myanmar), Sister Crescencia L. Lucero (Filipina), Sinapan Samydorai (Singapura), Manichanh Philaphanh (Laos) dan Nay Vanda (Kemboja).

Malaysia diwakili oleh Moon Hui Tah, Penyelaras Kempen SUARAM, sebuah pertubuhan hak asasi manusia Malaysia.

Dialog antara 10 pemimpin Asean dan kumpulan masyarakat madani ini diperkenalkan pada Sidang Kemuncak Asean ke14 yang diadakan di sini Februari lepas.

Mesyuarat yang julung kali diadakan itu turut diselubungi kontroversi apabila emimpin Myanmar dan Kemboja enggan bertemu wakil dari negara masing-masing.

Antara perkara yang menjadi tumpuan pada Sidang Kemuncak ke-15 ialah pelancaran Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean mengenai Hak Asasi Manusia.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia Datuk Muhammad Shafee Abdullah dilantik sebagai wakil Malaysia dalam badan berkenaan. BERNAMA

Artikel Lain