suria

Empat pemimpin Asean tak hadir perasmian Sidang Kemuncak Asean ke-15

HUA HIN: Ketua kerajaan Kemboja, Indonesia, Malaysia dan Filipina tidak akan menghadiri majlis perasmian Sidang Kemuncak Asean ke-15 di sini pada Jumaat berikutan komitmen tugas di negara masing-masing, kata Menteri Luar Thailand Kasit Piromya.

Bercakap pada sidang akhbar di sini, beliau berkata para pemimpin berkenaan akan menyertai rakan-rakan sejawatan mereka dari Thailand, Laos, Singapura, Myanmar, Vietnam dan Brunei bagi sidang-sidang kemuncak berkaitan yang akan berakhir pada Ahad.

Kasit berkata Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan, dijadual untuk membentangkan Bajet 2010 di Parlimen esok.

Najib, yang dijadual tiba di sini kirakira pukul 9 malam, akan diwakili Menteri Luar Datuk Anifah Aman pada upacara perasmian di sebelah pagi dan beberapa mesyuarat lain.

Kasit mengesahkan Perdana Menteri Kemboja Hun Sen, yang menggegarkan hubungan diplomatik dengan Thailand ekoran kenyataannya menawarkan tempat tinggal kepada bekas perdana menteri Thailand Thaksin Shinawatra yang kini dalam buangan, akan menghadiri sidang kemuncak itu.

Hun Sen dijangka berlepas ke Thailand selepas lawatan Presiden Korea Selatan Lee Myungbak ke Kemboja selesai.

Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono pula sibuk dengan pembentukan kabinet baru negara itu, yang mengangkat sumpah jawatan pada Khamis.

Majlis menandatangani Perjanjian Mengenai Hakhak Istimewa dan Imuniti Asean ditunda ke Ahad berikutan ketidakhadiran Menteri Luar Indonesia, Raden Mohammad Marty Muliana Natalegawa, yang baru dilantik hari ini.

Presiden Filipina Gloria Macapagal Arroyo, yang dijangka mencadangkan Dana Kerjasama Adaptasi Asean bernilai US$5 bilion pada sidang kemuncak itu, dijadual tiba pada Jumaat malam.

Bangkok telah menguatkuasakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang mengharamkan perhimpunan dan mengerahkan kira-kira 36,000 anggota keselamatan bagi menjaga keselamatan sepanjang sidang kemuncak yang dihadiri 16 pemimpin dari Asean, China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand.

Kumpulan penyokong berbaju merah Thaksin, yang merusuh sehingga menyebabkan Sidang Kemuncak Asia Timur di Pattaya pada April lepas dibatalkan, telah mengumumkan tidak akan mengadakan perhimpunan seumpamanya di sini tetapi akan menghantar delegasi tujuh anggota bagi menyerahkan memorandum kepada para pemimpin Asean pada Jumaat. BERNAMA

Artikel Lain