suria

Tabung Haji dipuji kerana lahirkan jemaah haji berdisiplin

MADINAH: Tabung Haji mendapat pujian kerana berjaya melahirkan jemaah haji yang paling berdisiplin sehingga Malaysia menerima pujian daripada pemimpin tertinggi Arab Saudi.

Duta Malaysia ke Arab Saudi Prof Madya Datuk Syed Omar Al Sagaff berkata Malaysia dipuji oleh Raja Arab Saudi Raja Abdullah sebagai negara maju yang mempunyai sistem pengurusan jemaah haji yang terbaik menerusi Tabung Haji.

Malahan Menteri Haji Arab Saudi, Ayad bin Amin sendiri menganggap pengurusan jemaah haji yang diamalkan Tabung Haji adalah yang terbaik dan jemaah haji Malaysia pula menjalankan ibadah dengan penuh disiplin tanpa banyak masalah, kata Syed Omar kepada petugas media Malaysia yang membuat liputan musim haji kali ini di sini.

Beliau berkata dalam pertemuannya dengan Ayad baru-baru ini, Menteri Haji itu berkata tidak banyak isu yang perlu bincangkan kerana pengurusan jemaah haji Malaysia tidak bermasalah.

Syed Omar berkata apa yang dicapai sekarang ini adalah hasil usaha bersungguh-sungguh Tabung Haji sejak bertahun-tahun lamanya memberikan kursus dan mendidik jemaah haji tentang tatacara yang betul melakukan ibadah haji.

"Pencapaian ini bukan merupakan sesuatu yang mudah dan apa yang penting sekarang ialah mengekalkan pencapaian sekarang," katanya.

Mengenai jemaah haji, beliau berkata jemaah haji Malaysia bernasib baik kerana disediakan banyak kemudahan oleh Tabung Haji sepanjang berada di tanah suci seperti penginapan, pengeluaran wang serta rawatan kesihatan.

Sebelum ini semua urusan jemaah haji seperti pangangkutan, pengurusan bagasi, penginapan dan sebagainya perlu diurus sendiri, tetapi kini segala-galanya diuruskan oleh petugas haji dan para jemaah boleh memberi tumpuan kepada ibadah. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain