suria

Asean beri tumpuan kepada penyertaan rakyat

HUA HIN: Malaysia, yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama, tampil untuk berkongsi pengalamannya dengan negara-negara anggota Asean ketika perkumpulan serantau itu bergerak ke arah pemupukan integrasi dan saling berhubungan di kalangan 580 juta rakyatnya.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata konsep 1Malaysia boleh digunakan negara-negara anggota kerana perkumpulan itu mempunyai matlamat 1Asean yang membabitkan lebih daripada hanya dagangan, keselamatan dan politik.

"Terdapat banyak penulisan mengenai identiti Asean dan komuniti Asean. Tetapi gambaran masa kini terhadap Asean hanyalah kepada dagangan dua hala, politik ataupun keselamatan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis SosioBudaya Komuniti Asean kedua hari ini.

Rais berkata para pemimpin Asean, yang akan bertemu di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-15 pada Jumaat, mahu merangkumi kedua-dua hubungan fizikal seperti infrastruktur komunikasi dan rangkaian, serta jalinan antara rakyat dan rakyat menerusi pendidikan dan kerjasama kebudayaan.

"Tidak banyak program ke arah penyertaan rakyat meskipun kita kaya dengan tradisi kebudayaan," katanya.

Rais berkata akan wujud lebih banyak aktiviti kebudayaan pada tahun depan kerana para menteri terbabit percaya ia dapat membantu masyarakat Asean menjalin hubungan antara masa lepas dan sekarang, serta menggerakkan ikatan lebih kukuh pada masa depan.

"Kita akan mencari jalan bagi merapatkan jurang dalam pembabitan rakyat di rantau ini. Mulai sekarang, kita akan mewujudkan lebih banyak aktiviti bagi membabitkan rakyat bersama dan memahami nilai-nilai murni satu sama lain," katanya.

Antara lain, Rais berkata Asean berharap dapat mengenalpasti bandar-bandar bersejarah yang kaya dengan warisan budaya serta memberi penekanan kepada isu-isu wanita, kanak-kanak dan alam sekitar.

Ditanya mengapakah topik berkaitan wanita dan kanak-kanak termasuk dalam bidang Majlis SosioBudaya Komuniti Asean, Rais berkata isu-isu budaya tidak dapat dipisahkan daripada isu-isu kemanusiaan.

"Isu wanita dan kanakkanak seringkali ditonjolkan dalam persidangan-persidangan antarabangsa. Asean mahu memastikan isuisu mengenainya tidak dipinggirkan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain