suria

Najib ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Asean ke-15

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Asean ke-15 di Chaam Hua Hin, Thailand, yang bermula hari ini.

Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar Datuk Anifah Aman, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed.

Menurut kenyataan Wisma Putra hari ini, Sidang kemuncak itu akan memberi peluang kepada ketuaketua kerajaan Asean dan negara rakan dialog mengadakan perbincangan secara mendalam mengenai hubungan antara Asean dan rakan dialog selain mengenai isu-isu semasa yang mempunyai kepentingan bersama terutamanya krisis kewangan dan ekonomi global, jaminan makanan dan pengurusan bencana.

"Malaysia berpendapat Sidang Kemuncak Asean Ke15 dan SidangSidang Kemuncak Berkaitan kali ini penting dalam meneruskan usaha dalam mencapai matlamat yang telah ditetapkan serta mempersiapkan Asean bagi menghadapi cabaran semasa dan yang akan datang," kata kenyataan itu.

Upacara perasmian sidang kemuncak itu akan diadakan hari ini manakala sesi pemukiman ketuaketua kerajaan Asean berlangsung esok sebelum Sidang Kemuncak Asean bersama rakan dialog diadakan.

Sidang Kemuncak Keenam Kawasan Pertumbuhan Asean Timur (BIMPEAGA) melibatkan Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina pula akan diadakan pada Ahad.

Pada sidang kemuncak Asean kali ini, Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia akan turut dilancarkan.

Ia bertujuan mempromosi dan melindungi hak asasi manusia di rantau Asean.

Ketua negara atau kerajaan Asean juga dijangka memperakukan empat dokumen iaitu Deklarasi Chaam Hua Hin Mengenai Pelancaran Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia, Deklarasi Chaam Hua Hin Mengenai Peningkatan Kerjasama Pendidikan Bagi Mencapai Komuniti Asean yang Prihatin, Deklarasi Asean Mengenai Perubahan Iklim dan Penyataan Pemimpin Asean Mengenai Kesalinghubungan Asean.

Ketua negara atau kerajaan Asean dan Rakan Dialog Asean juga akan mengeluarkan Pernyataan Chaam Hua Hin Mengenai Kerjasama Asean Campur Tiga Dalam Jaminan Makanan dan Pembangunan TenagaBio, Penyataan Chaam Hua Hin Mengenai Sidang Kemuncak Asia Timur Mengenai Pengurusan Bencana, Kenyataan Bersama Mengenai Sidang Kemuncak Asia Timur Ke4 Bagi Memulihkan Universiti Nalanda dan Pernyataan Bagi Meraikan Penubuhan dan Penguatkuasaan Kawasan Perdagangan Bebas antara Asean, Australia dan New Zealand (AANZFTA).

Menteri-menteri Luar Asean pula bakal menandatangi Perjanjian Mengenai Hak Keistimewaan dan Kekebalan Asean dan Memorandum Persefahaman Mengenai Penubuhan Pusat Asean-China manakala Menteri Ekonomi Asean akan menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Asean dan China Mengenai Kerjasama Dalam Bidang Harta Intelek dan Memorandum Persefahaman Antara Asean dan China Bagi Mengukuhkan Kerjasama dalam Bidang Piawai, Peraturan Teknikal dan Penilaian Pematuhan.

Ketua negara atau kerajaan Asean juga dijadual mengadakan perjumpaan tidak rasmi dengan wakilwakil dari Perhimpunan AntaraParlimen Asean (AIPA), Belia dan Masyarakat Madani yang merupakan sebahagian daripada usaha Asean untuk meningkatkan lagi dialog dalam pelbagai bidang. BERNAMA

Artikel Lain