suria

Thailand mahu Malaysia terus bantu bawa keamanan di selatan

BANGKOK: Thailand meminta Malaysia untuk meneruskan pelbagai programnya dalam membantu negara itu membawa keamanan, kestabilan dan kemakmuran di kawasan selatan Thailand yang bergolak.

Menteri Pertahanan Pravit Wongsuwan memberitahu Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Azizan Ariffin yang sedang melakukan lawatan ke negara itu, Thailand menghargai inisiatif 3E" (Pendidikan, Keusahawanan dan Pekerjaan) yang sedang dilaksanakan oleh Malaysia.

Pegawai Thailand dan Malaysia berkata Pravit gembira dengan komitmen dan bantuan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia dan angkatan tentera dalam hubungan dengan rakan Thailand mereka sejak 50 tahun lepas.

Pada pertemuan itu, Pravit juga memberitahu Azizan yang beliau berharap kerjasama di wilayahwilayah di selatan akan diperkukuhkan lagi apabila Perdana Menteri Thailand Abhisit Vejjajiva dan rakan sejawatnya Datuk Seri Najib Tun Razak melawat ke kawasan itu pada Disember.

"Menteri itu berharap lawatan itu akan menunjukkan komitmen keduadua kerajaan untuk membantu mengurangkan keganasan di sana dan memberikan lebih keyakinan di kalangan penduduk," kata seorang pegawai.

Azizan, yang merupakan Panglima Tentera Udara sejak tiga tahun lepas, dilantik Panglima Angkatan Tentera pada September lepas.

Semasa lawatannya ke sini, beliau juga mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya Jen Songkitti Jakabatra dan Panglima Tentera Udara, ACM Itthaporn Subhawong.

Menurut pegawai, Azizan memberitahu Pravit bahawa disebalik kerjasama yang dijalin mengenai isu di selatan, Malaysia tiada niat untuk terlibat dalam hal ehwal dalaman negara itu.

"Tan Sri memberitahu menteri dan pegawai tinggi tentera bahawa Malaysia akan meneruskan program 3E, seperti program latihan Mara," kata seorang pegawai Malaysia.

Azizan juga mencadangkan kepada Songkitti agar keduadua mereka melakukan lawatan ke kawasan selatan yang bersempadan dengan Malaysia sebelum lawatan perdana menteri keduadua negara.

Lebih 3,600 terkorban dalam keganasan di kawasan Yala, Narathiwat dan Pattani yang penduduknya majoriti Islam sejak kumpulan pemisah melancarkan perjuangan bersenjata pada Januari, 2004 bagi menuntut kemerdekaan.BERNAMA

Artikel Lain