suria

Mangsa gempa Padang masih perlukan bantuan kemanusiaan

PADANG: "Saya mohon ya embak (kakak), tolong sampaikan kepada semua saudara-saudara kita di Malaysia, kami di sini masih butuhkan (perlukan) bantuan mereka dan tolong jangan lupakan kami di sini," rintih seorang mangsa gempa bumi.

Norhayati Jalin, 45, adalah antara penduduk wilayah Sumatera Barat yang kehilangan tempat tinggal akibat gempa bumi pada 30 Sept itu terus mengharap kesinambungan bantuan terutamanya perubatan dan makanan berzat dari Malaysia.

Ibu kepada dua orang anak itu berkata bantuan kemanusiaan baik dari pemerintah atau negara asing masih belum menyeluruh kerana ia meliputi kawasan yang luas sehingga ada penduduk terpaksa mengemis kerana masih belum dibantu.

"Kehidupan sangat sukar selepas gempa, banyak rumah yang roboh jadi kami terpaksa tinggal dalam khemah, bekalan air bersih pun baru pulih dua hari lepas, letrik (elektrik) pula masih belum ada.

"Kami juga butuh (perlu) makanan berzat kerana bantuan makanan yang banyak kami terima hanya mee segera," kata penduduk Desa Kasiak Putih, Cubadak Air, Pariaman Utara itu kepada Bernama di sini hari ini.

Norhayati juga mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada bantuan yang diberikan pasukan bantuan kemanusiaan Malaysia kepada penduduk kampungnya.

"Hanya Tuhan yang mampu membalas jasa anda semua," katanya.

Bagi Bagja Dramoh, 55, pertolongan seperti ini bukan sahaja boleh merapatkan lagi hubungan Indonesia dan Malaysia, malah ia dapat dipertingkat dan dipertahankan.

"Kita juga mengharapkan pihak pemerintah lebih peka dan datang ke sini untuk memberi bantuan," katanya.

Sementara itu, Ketua Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia ke Padang Sophian Isswandy Ismail berkata misi selama sembilan hari yang tamat semalam itu mencapai objektif utamanya termasuk melakukan usaha mencari dan menyelamat (SAR) dan mewujudkan klinik bergerak.

"Lebih 3,000 pesakit berjaya dirawat dan kira-kira 4,500kg bekalan seperti makanan, minuman, ubat-ubatan, selimut serta pakaian kita dapat agihkan kepada mangsa gempa selama sembilan hari kita di sini," katanya di sini hari ini.

Sophian Isswandy berkata bantuan yang meliputi kawasan Kota Padang dan Pariaman mendapat kerjasama sepenuhnya daripada kerajaan Indonesia dan masyarakat di situ.

Pasukan bantuan seramai 60 orang yang terdiri daripada Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (Smart), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) itu tiba di sini 3 Sept lepas.

Gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter berlaku pada pukul 5.16 petang waktu tempatan (Waktu Indonesia Barat), yang turut dirasai gegarannya oleh penduduk Malaysia, mengorbankan hampir 1,000 penduduk Padang.

Setakat Sabtu, kira-kira 241 orang masih hilang, 891 orang cedera parah dan 1,365 orang cedera ringan.

Lebih 133,000 rumah mengalami kerosakan teruk, runtuh atau hancur sepenuhnya dan lebih 110,000 yang lain mengalami pelbagai kerosakan.

Padang adalah bandar terbesar di Sumatera Barat berukuran 694.96km persegi dan dihuni kira-kira 900,000 penduduk.

Artikel Berikut

Artikel Lain