suria

Malaysia salur bantuan AS$1 juta kepada mangsa gempa di Padang

PADANG: Kerajaan Malaysia bersetuju untuk menyalurkan bantuan sebanyak AS$1 juta (RM3.5 juta) bagi membantu mangsa gempa bumi yang berlaku pada 30 September lepas di Padang, Indonesia.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bantuan kewangan itu bagi membantu membangunkan semula sekolah, rumah ibadat dan kemudahan yang lain.

Beliau berkata keputusan itu telah mendapat persetujuan jemaah menteri dan akan disalurkan secepat mungkin melalui Kementerian Luar Malaysia kepada Kementerian Luar Indonesia.

"Tumpuan diberikan untuk membangunkan semula sekolah dan rumah ibadat kerana ianya adalah kegunaan umum dan boleh dimanfaatkan oleh penduduk di Padang," katanya kepada pemberita ketika melawat kawasan gempa bumi dan mendengar taklimat oleh gabenor Sumatera Barat Gamawan Fauzi di Istana Gabenor Sumatera Barat di sini hari ini.

Selain dari sumber kerajaan beliau berkata kutipan melalui tabung bencana alam anjuran media dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dianggarkan bernilai RM10 juta akan turut disalurkan kepada mangsa gempa bumi di Padang.

Katanya bantuanbantuan yang dihulurkan oleh Malaysia kepada rakyat Indonesia membuktikan keprihatinan kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia di atas musibah yang menimpa negara jiran yang paling rapat.

"Keprihatinan kami adalah ikhlas bukannya retorik atau kata-kata semata-mata. Kita berharap rakyat di Indonesia khususnya di Padang turut ikhlas menerima bantuan kami," katanya.

Ketika ditanya oleh media Indonesia mengenai kedatangan rakyat Malaysia ke Padang mungkin terjejas, Ahmad Zahid memberi jaminan bahawa rakyat Malaysia akan terus berkunjung ke Padang walaupun selepas kejadian gempa bumi itu serta halhal lain yang berlaku sebelum ini. "Kita akan terus membantu ekonomi Padang melalui pelancongan. Penerbangan Firefly akan diteruskan mengikut jadual," katanya.

Sementara itu, Gamawan juga menyampaikan ucapan penghargaan kepada Malaysia di atas bantuan yang diberikan kepada mangsa gempa di negara itu. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain