suria

Kehidupan mangsa gempa berubah sekelip mata

PADANG: Kehidupan masyarakat bumi Minangkabau di sini berubah sekelip mata apabila keselesaan yang dinikmati mereka sekian lama "dirampas" akibat kejadian gempa bumi yang melanda Sumatera Barat baru-baru ini.

Jika dahulu mereka boleh bersantai menonton sinetron (drama bersiri tempatan) di televisyen sambil berbaringan di tilam empuk, kini keadaan itu tidak mungkin dinikmati, sekurang-kurangnya untuk tempoh beberapa bulan lagi.

Selepas kejadian pada 30 Sept lepas, banyak rumah yang ranap dan memusnahkan barangan keperluan sehingga menyukarkan penduduk untuk kembali memulakan kehidupan baru. Keadaan itu turut melibatkan penduduk di Desa Rumbai Kota Pariaman, Pariaman, kirakira 60 kilometer dari Kota Padang.

Antaranya ialah Pirda Atip, 29, yang kehilangan tempat tinggal apabila rumah batu peninggalan arwah bapanya, yang dihuni enam orang termasuk ibu, dua adik lelaki, isteri dan anaknya, roboh dalam beberapa minit selepas gempa berukuran 7.9 skala Richter. "Semasa gempa, kami semua sedang menonton televisyen di dalam rumah, tibatiba seluruh rumah bergegar dan kami terus berlari ke luar. Tidak sampai berapa minit, rumah kami runtuh terus," kata pesawah itu.

Pirda berkata keadaan mereka kini amat sukar kerana bekalan elektrik masih belum pulih manakala bekalan air pula tidak bersih.

"Tetapi asalkan anak, isteri dan saudara saya selamat, rumah yang roboh itu tidak penting kerana boleh dibina kembali.

"Mungkin dalam dua tiga bulan ini keadaan masih begini, tidak selesa dan panas, selain itu nggak (tidak) ada apaapa masalah. Alhamdulillah, bantuan pun sudah sedia ada di sini," katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Menurutnya satu khemah kecil yang dibina bersebelahan runtuhan rumahnya menjadi tempat tidur dan berehat bagi 12 kanak-kanak berumur antara 3 hingga 12 tahun. "Rumah di sekitar ini semuanya saudara saya...ipar dan adikberadik, rumah mereka juga ada yang rosak teruk dan tidak selamat untuk dihuni.

"Yang dewasa tidur di serambi rumah, anakanak kecil semuanya tidur di tenda (khemah) kecil ini," katanya.

Difahamkan bilangan mangsa korban akibat gempa di kawasan Desa Rumbai itu tidak ramai tetapi banyak rumah yang musnah teruk sehingga memaksa penghuninya mendirikan berdekatan runtuhan rumah mereka.

Mengikut laporan Data Badan Penanganan Bencana Sumatera Barat setakat tengah hari Sabtu angka korban akibat gempa itu berjumlah 803 orang dengan 891 orang cedera parah dan 1,365 orang cedera ringan. Lebih 133,000 rumah mengalami kerosakan teruk, runtuh atau hancur sepenuhnya dan lebih 110,000 yang lain mengalami pelbagai kerosakan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain