suria

Anggap kejadian gempa sebagai ujian Allah - Imam

PADANG: "Ya Allah, hanya Engkau tempat kami memohon pertolongan, kami mohon Kau jauhkanlah musibah dan kesengsaraan yang tak tertanggung ini," kata imam Masjid Raya Andalas, Faisal Rahman dalam doa selepas khutbah solat Jumaat di sini, hari ini.

Dalam khutbahnya kepada kirakira 300 jemaah itu, beliau menasihatkan umat Islam menjadikan kejadian gempa bumi pada minggu lepas sebagai ujian dan kekuasaan tuhan.

Musibah dan ujian harus diyakini sebagai kehendak tuhan kepada hambanya sebagai peringatan supaya tidak terlalu jauh sesat dan kembali ke jalan Allah, kata Faisal.

Gempa bumi berukuran 7.6 skala Richter itu menyebabkan masjid yang berusia 41 tahun itu mengalami kerosakan teruk terutamanya pada bahagian dinding yang hampir 55 peratus roboh.

Kekukuhan tiangtiang utama masjid itu, menyebabkannya tidak musnah sama sekali seperti yang berlaku kepada masjid tertua di Padang iaitu Masjid Raya Ganting.

Hanya bahagian bawah masjid dua tingkat itu sahaja yang digunakan, kerana dikhuatiri sebarang beban yang berat di bahagian atas akan menyebabkan bangunan itu runtuh.

Suhu panas mencecah 33 darjah Celcius juga menyebabkan jemaah terpaksa berhimpit sedikit kerana ketiadaan ruang teduh yang mencukupi di dalam masjid.

Timbunan serpihan batu juga dilihat masih terkumpul sekitar di kawasan masjid dan bekalan air yang sudah pulih membolehkan jemaah mengambil wuduk di tempat yang disediakan.

Seorang penduduk Edi Marjusi, 46, yang ditemui selepas solat Jumaat itu berkata masyarakat di kawasan itu perlu melupakan kesedihan yang ditanggung bagi meneruskan kehidupan.

"Apa yang berlaku adalah atas kehendak Allah sebagai peringatan terhadap perkaraperkara mungkar yang dilakukan umat.

Sudah sampai masanya kita kembali ke jalan yang benar dan meninggalkan perkara-perkara maksiat," katanya. BERNAMA

Artikel Lain