suria

Pencuri 'prihatin' tidak usik tabung derma mangsa gempa bumi Padang

KUALA TERENGGANU: Sebuah pasar raya di sini kecurian wang tunai lebih RM25,000, namun wang kutipan derma untuk mangsa gempa bumi Padang, Indonesia, dalam sebuah tabung lutsinar yang diletakkan dalam bilik juruwang, tidak dilarikan.

Pengurus pasar raya berkenaan M Shanmuganathan berkata kehilangan wang tunai itu disedari semasa pasar raya itu hendak memulakan urusniaga pagi tadi.

Katanya tabung berkenaan, diletakkan di pasar raya berkenaan sejak dua hari lepas untuk disalurkan kepada mangsa bencana gempa bumi di Padang, 30 Sept lalu.

"Kita tidak dapat pastikan berapa jumlah wang dalam tabung berkenaan kerana masih belum dikira, bagaimanapun, wang tunai dalam 14 kotak yang dikunci dalam bilik juruwang hilang dan bilik itu turut berselerak digeledah pencuri," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Shanmuganathan berkata beliau sudah memastikan semua pintu pasar raya ditutup sebelum meninggalkan premis berkenaan pukul 10.30 malam tadi.

Katanya kejadian itu dilaporkan kepada polis sejurus selepas kejadian disedari. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain