suria

Aman Malaysia cadang hantar lebih banyak susu bayi ke Padang

PADANG: Aman Malaysia akan membekalkan lebih banyak barangan keperluan bayi seperti susu tepung dan biskut serta melihat kemungkinan menghulurkan bantuan khemah dan selimut untuk mangsa gempa di sini.

Selain itu, Aman Malaysia juga bercadang melancarkan tabung bantuan serta melihat keperluan lain yang diperlukan mangsa gempa itu termasuk mendapatkan lebih banyak bantuan perubatan dan barangan keperluan wanita.

Pengerusi Aman Malaysia dan Biro Hubungan Antarabangsa Pemuda Umno Datuk Ahmad Zaki Zahid berkata beliau akan memberi taklimat kepada Aman dan Pemuda Umno mengenai barangan yang amat diperlukan mangsa gempa di Padang.

"Mereka mempunyai banyak beras, mi segera dan air minuman. Apa yang mereka perlukan ialah bekalan perubatan, lebih banyak doktor dan susu," katanya kepada Bernama selepas melawat kawasan gempa dan menyampaikan bantuan kemanusiaan semalam.

Beliau berkata Aman Malaysia akan berganding bahu dengan Himpunan Pengusaha Muda Indonesia (Hipmi) di Padang untuk mengagihkan bantuan berupa barangan keperluan yang dibawa dari Kuala Lumpur itu.

"Bantuan yang paling awal sekarang ini adalah dari segi susu, makanan, pampers yang tak cukup di sini. Selepas itu kami akan bincang dengan Hipmi untuk bantu bina semula masjid dan juga penyediaan khemah bagi sekolah-sekolah sementara.

"Saya akan bentangkan laporan kepada Exco Aman dan Pemuda Umno mengenai apa yang kita boleh lakukan untuk membantu mereka," katanya.

Beliau berkata Aman Malaysia bernasib baik kerana mempunyai rangkaian untuk menyalurkan bantuan seperti Hipmi yang mampu mengenalpasti kawasan yang benar-benar memerlukannya.

Ketua Hipmi Peduli Gempa Sumatera Barat Yuliandre Parwis berkata setakat ini mereka telah mengagihkan hampir 20 tan bantuan makanan dan keperluan ke kawasan yang terjejas teruk akibat gempa dan belum menerima bantuan, terutama di wilayah Pariaman.

Ketika menyampaikan bantuan di Kampung Dalam, Dusun Jua Banyak di wilayah Pariaman hari ini, Ahmad Zaki dikerumuni penduduk kampung itu apabila mendapati beliau mengagihkan susu tepung untuk bayi.

Nawir Nagur, 46, seorang daripada ketua keluarga di kampung itu melahirkan rasa syukur dan berterima kasih serta tidak lekang daripada senyuman apabila memperoleh susu untuk anak kecilnya. BERNAMA

Artikel Lain