suria

Negara membangun mahu perjanjian iklim semasa dikekalkan

BANGKOK: Selepas hampir dua minggu mengadakan rundingan yang sukar, perwakilan masih belum mencapai kata sepakat berhubung meningkatkan perjanjian pemanasan global semasa mengikut Protokol Kyoto, selain timbul pula dakwaan ia kini menjadi sebuah forum rundingan dagangan.

Kumpulan G77, terdiri daripada 132 negara membangun dengan kemunculan ekonomi seperti China, India dan Brazil sebagai peneraju, mahu mengekalkan Protokol Kyoto serta menentang cubaan oleh 42 negara maju untuk menyingkirkannya.

Para pegawai yang menghadiri rundingan Perubahan Iklim Bangkok berkata kumpulan G77 mahu negara maju memenuhi kewajipan mereka mengikut Kerangka Konvensyen mengenai Perubahan Iklim Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (UNFCCC), dan bukannya bercakap untuk merangka perjanjian baru.

Seorang wakil dari Malaysia berkata ekonomi utama seperti Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat cuba untuk mengelak komitmen mereka dalam menyediakan sokongan kewangan serta pemindahan teknologi dengan mengalih tanggungjawab itu kepada negara membangunan dan sektor swasta.

"Mereka bercakap mengenai pascaKyoto dan perjanjian baru perubahan iklim kerana mereka jauh daripada sasaran pelepasan mereka. Dengan mendesak supaya diadakan perjanjian baru, mereka boleh berunding semula dan melepaskan tanggungjawab yang telah pun dipersetujui," kata pegawai itu selepas beredar dari mesyuarat anggota G77.

Perwakilan dari 180 negara menghadiri rundingan itu di sini, menjelang persidangan yang akan diadakan di Copenhagen pada Disember ini dan mereka berharap dapat meningkatkan Protokol Kyoto, dengan menetapkan tempoh komitmen kedua sebagai susulan kepada tempoh awal yang bermula pada 2008 dan berakhir pada 2012.

Seorang lagi pegawai berkata antara isu yang menjadi penghalang pada rundingan itu termasuk tempoh komitmen baru, dengan kumpulan G77 menegaskan supaya diadakan satu lagi tempoh selama lima tahun.

"Meskipun negara seperti Norway dan UK sedang menuju ke arah mencapai sasaran pelepasan, beberapa negara misalnya Jepun, Kanada dan New Zealand masih jauh ketinggalan. Kami meminta minimum 40 peratus, manakala kepulauan kecil yang terdedah kepada peningkatan paras laut pula mendesak sebanyak 45 peratus," katanya.

Protokol Kyoto, yang diterima pakai pada 1997 dan dikuatkuasakan pada 2005, menggariskan sasaran yang ditetapkan ke atas 37 negara perindustrian dan komuniti Eropah untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG), yang jumlah puratanya lima peratus berbanding tahap pada 1990, merangkumi tempoh lima tahun dari 2008 kepada 2012.

UNFCCC mengakui bahawa negara maju pada dasarnya bertanggungjawab terhadap tahap pelepasan GHG yang tinggi pada masa ini ke dalam atmosfera sebagai akibat daripada aktiviti perindustrian yang dijalankan sejak lebih 150 tahun.

"Bukan kami yang menyebabkan pelepasan itu tetapi kamilah yang menderita, dengan berlakunya banyak bencana besar seperti taufan. Sepatutnya, pada setiap tempoh komitmen, mereka seharusnya mengumumkan pengurangan tahap pelepasan yang lebih besar. Bagaimanapun hampir tidak ada apa yang berlaku daripada segi sokongan kewangan dan pemindahan teknologi," kata seorang lagi perwakilan.

Sebaliknya, kumpulan G77 mendakwa ekonomi utama mengelak isu besar yang sedang dihadapi dengan meletakkan kesalahan kepada negara membangun dan menggunakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan untuk mengaitkan pembangunan ekonomi di negara anggota mereka dengan perubahan iklim.

Satu daripadanya adalah percubaan untuk mengaitkan penebangan hutan dengan aktiviti ekonomi, misalnya pembukaan hutan untuk ladang kelapa sawit di Malaysia dan Indonesia, dengan perubahan iklim. Bagaimanapun pegawai Malaysia berkata ia hanyalah bertujuan merosakkan nama baik tanaman berkenaan yang semakin menjadi pesaing utama kepada minyak lain seperti kacang soya.

Di sebalik perbalahan itu, para pegawai berkata rundingan Bangkok itu bukanlah satu kegagalan memandangkan ia menyediakan input yang lebih besar sebelum pihak yang berunding mengadakan pertemuan semula di Barcelona bulan depan sebelum pusingan akhir rundingan berlangsung di Copenhagen.

Namun para pegawai turut bimbang dengan trend dalam kalangan negara maju untuk mengaitkan pengurangan pelepasan dengan dagangan, sambil memberi contoh cadangan Amerika Syarikat untuk melaksanakan cukai import berdasarkan jumlah pelepasan karbon, atau cukai karbon EU ke atas pesawat yang terbang ke benua berkenaan.

"Tidak lama lagi mereka akan meminta pula negara pengeksport supaya menyenaraikan pelepasan karbon bagi setiap produk yang kita eksport ke negara mereka," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain