suria

Fakulti perubatan Universiti Andalas dibuka 15 Oktober

PADANG: Penuntut Fakulti Kedoktoran Universiti Andalas di sini akan memulakan semula pengajian mereka yang tertangguh akibat gempa bumi kuat Rabu lepas pada 15 Okt ini.

Timbalan Dekannya Prof Dr Eryati Darwin berkata 323 penuntut Malaysia yang mengikuti pengajian di situ juga diminta melapor diri pada pada tarikh itu atau selewat-lewatnya 19 Okt ini.

"Kami faham pelajar Malaysia masih trauma akibat kejadian gempa itu, oleh kerana itu kami ingin memberi masa yang lebih kepada mereka.

"Tapi pengajian mesti diteruskan, jadi mereka dinasihat kembali ke sini kalau boleh lebih awal dari itu untuk meneruskan pengajian dan mempersiapkan perkara seperti tempat tinggal dan sebagainya.

"Lagi pula pengajian sudah hampir separuh, kalau mereka tidak kembali mungkin nanti tidak lulus," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dr Eryati berkata semua 1,800 penuntut fakulti itu akan mengikuti kuliah di bangunan yang tidak terjejas oleh gempa dan sebahagiannya akan belajar di khemah yang sudah mula didirikan di hadapan bangunan pejabat dekan.

"Tenda (khemah) berukuran 504 meter persegi yang boleh memuatkan kira-kira 200 pelajar akan siap hari ini, kami juga telah meminta konsultasi kelayakan bangunan bagi memastikan bangunan yang ada masih kukuh dan selamat untuk digunakan," katanya.

Beliau berkata hanya 20 peratus daripada keseluruhan bangunan di fakulti itu tidak boleh digunakan dan proses membaikpulih memerlukan masa kira-kira enam bulan atau lebih.

"Setakat ini semuanya selamat dan pelajar tidak perlu risau tapi terpulanglah kepada pelajar sendiri jika mahu kembali atau tidak. Kami di sini berusaha memulihkan keadaan dengan dana dari pusat," katanya.

Kesemua penuntut Malaysia itu pulang ke tanah air dengan menaiki pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 2 Okt.

Kabinet pula dijangka membuat keputusan mengenai status penuntut itu hari ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Ribut taufan kuat landa Jepun

Artikel Lain