suria

Malaysia gesa negara Asean percepat projek kereta api Singapura-Kunming

HANOI: Malaysia menggesa kesemua negara anggota Asean yang terlibat dalam projek Hubungan Kereta Api Singapura-Kunming (SKRL) seperti Thailand, Kamboja, Laos, Burma, Vietnam, menyegerakan pembinaan landasan kereta api di beberapa kawasan yang belum diwujudkan.

Ia bertujuan memastikan pada tahun 2015, landasan dari Singapura ke Kunming China, siap selaras dengan matlamat pembentukan komuniti Asean pada tahun tersebut.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri semasa mempengerusikan kumpulan kerja khas SKRL di Hanoi, Vietnam semalam.

Beliau berkata projek infrastruktur kereta api SKRL Asean China ini penting dalam mempercepat dan meningkatkan kerjasama ekonomi di kalangan negara anggota, selain akan membuka sepenuhnya potensi pasaran 1.75 billion penduduk, kombinasi pasaran China (1.2 bilion) dan 550 juta potensi pasaran Asean.

Ia juga akan mengiatkan aktiviti perdagangan dan pelaburan sesama negara anggota Asean di kawasan pembangunan Delta Mekong, katanya.

Mesyuarat sehari yang melibatkan pelbagai agensi kereta api negara Asean, termasuk China, itu memperincikan pelbagai isu, khususnya berkaitan pembiayaan projek, terutama di kalangan negara kurang membangun.

Beliau berkata adalah diharapkan tabung kerjasama ekonomi AseanChina berjumlah AS$10 bilion, dapat digunakan bagi melaksanakan sebahagian daripada landasan yang belum wujud itu dalam projek SKRL terbabit.

Mesyuarat yang turut disertai oleh agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu, UNESCAP yang berpusat di Bangkok, selain Sekretariat Asean yang berpusat di Jakarta. BERNAMA

Artikel Lain