suria

Universitas Andalas tidak parah digegar gempa

PADANG: Setiap pengunjung pasti tertawan melihat pintu gerbang dengan reka bentuk bumbung Minangkabau apabila memasuki kampus Universitas Andalas (Unand), yang terletak 12km dari bandar Padang.

Pintu gerbang dengan bumbung berbucu tajam melentik seperti tanduk kerbau kelihatan masih teguh walaupun dilanda gempa bumi sekuat 7.6 pada skala Richter minggu lepas.

Gelagat orang ramai yang keluar masuk kampus, pastinya penuntut dan kakitangan universiti, kelihatan seolah-olah mereka telah melupakan peristiwa duka yang berlaku pada petang 30 Sept lepas.

Perkhidmatan bas juga kembali beroperasi di kampus yang terletak di kawasan berbukit Limau Manis, Pauh seluas kira-kira 500 hektar itu.

"Di sini keadaannya nyaman, sejuk kerana di atas bukit," kata seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Adi kepada Bernama di sini.

Sekali pandang, seolah-olah tidak berlaku musibah di kawasan itu kerana penjaja minuman masih menjual minuman di tepi sebuah stesen bas, pelajar dan kakitangan universiti juga ramai berada di kawasan bangunan Rektor, iaitu bangunan pentadbiran universiti.

Hanya kerosakan kecil pada bahagian bumbung sebuah bangunan dan runtuhan serpihan simen yang menunjukkan bangunan universiti berusia 54 tahun itu nampak "tewas" kepada gempa bumi.

Namun, kerja membersih serpihan batu masih dilakukan di dalam dan luar Fakulti Hukum (Undang-undang) yang belum menyambung semula kuliah selepas bencana itu.

Begitu juga di kampus Fakulti Kedoktoran yang terletak 15km dari kampus induk, kelihatan kerja-kerja membersih sisa runtuhan diangkut untuk dibawa keluar dengan menaiki lori.

Hanya dua atau tiga daripada sembilan bangunan fakulti itu terdapat kesan keretakan dan beberapa bahagian bumbung yang roboh. Seorang pelajar Rahmi Sarita, 22, dari Medan berkata beliau serta beberapa rakan menjadi sukarelawan untuk membantu mangsa gempa bumi.

Timbalan Rektor Unand Prof Dr Elfi Sahlan Ben berkata semua kakitangan universiti sudah bertugas sejak hari ketiga kejadian gempa untuk menguruskan hal-hal pentadbiran.

"Mahasiswa (pelajar) pula bakal mendaftarkan diri pada tanggal 12 Oktober dan pada 15 Oktober mereka akan mulai kuliah. Yang ada sekarang ialah pelajar yang ingin menguruskan pendaftaran pengajian.

"Ramai juga mahasiswa yang menjadi sukarelawan bagi membantu masyarakat di luar sana yang memerlukan pertolongan," katanya di sini.

Elfi Sahlan berkata hanya 20 peratus daripada keseluruhan bangunan di universiti itu mengalami kerosakan teruk dan tidak dapat digunakan serta memerlukan masa sehingga dua bulan untuk dibaik pulih.

"Bangunan yang tidak boleh dihuni telah ditandakan merah dan jalan masuknya telah dililit pita bagi tujuan keselamatan.

"Hanya beberapa bangunan sahaja yang ditanda merah dan yang lainnya adalah hijau iaitu selamat untuk diduduki," katanya.

Beliau juga menasihatkan lebih 300 pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian di universiti itu supaya tidak menjadikan pengalaman dilanda gempa sebagai salah satu sebab untuk tidak meneruskan pengajian mereka di situ.

"Jangan trauma dengan gempa, kalau kita datang untuk dididik anggap sahaja perkara yang berlaku itu satu pendidikan dan pengalaman. Ibu bapa (pelajar) juga usah risau, kirimkan (hantar) anakanak mereka ke sini dengan tulus dan ikhlas kerana segalanya Insya-Allah pasti selamat," katanya.

Seorang penuntut tahun akhir jurusan Teknologi Pertanian, Sartika Abdul Muis, 22, berkata pelajar Malaysia tidak perlu risau dengan keadaan di Unand kerana kerja-kerja pembaikan sudah dimulakan bagi bangunan yang rosak.

"Fizikalnya nggak (tidak) rosak parah cuma rosak ringan. Jadi nggak ada apaapa yang perlu dirisaukan," katanya yang menjadi sukarelawan Unand bagi misi bantuan kemanusian di kawasan itu.

Pelajar jurusan kedoktoran Dian Pratama Putra, 21, pula menyarankan pelajar Malaysia kembali supaya dapat bergabung dengan pelajar lain bagi membantu masyarakat di situ.

"Insya-Allah daerah kita aman jika kita siap siaga (sedia), ambillah (kejadian gempa bumi) ini sebagai pelajaran dan bukan pengalaman ngeri," katanya yang berasal dari Medan. BERNAMA

Artikel Lain