suria

Ancaman 'Bendera' 8 Okt tidak akan jadi kenyataan

JAKARTA: Ancaman satu kumpulan tidak berdaftar di Indonesia, yang menggelar diri mereka 'Benteng Demokrasi Rakyat' (BENDERA) untuk menyerang Malaysia dengan buluh runcing esok hanyalah cakap-cakap kosong yang tidak akan menjadi kenyataan, menurut Kementerian Luar Indonesia.

Jurucakap Kementerian Luar Indonesia Teuku Faizasyah berkata ancaman itu juga tidak masuk akal kerana mustahil bagi mereka yang membawa senjata tajam seperti buluh runcing dapat melepasi kawalan sempadan kedua-dua negara. "Walaupun ancaman itu tidak mungkin terjadi, kami juga tidak menutup mata dan telah melakukan langkahlangkah antisipasi seperti berkoordinasi dengan pihak polis Indonesia," katanya ketika dihubungi BERNAMA di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media massa sebelum ini kononnya kumpulan BENDERA itu, yang pernah cuba melakukan 'sweeping' atau mencari rakyat Malaysia di Jakarta untuk dihantar pulang baru-baru ini, akan mengirim 1,500 orang bersenjata buluh runcing untuk menyerang Malaysia esok.

Sambil menganggap kumpulan tidak berdaftar itu terdiri daripada orang yang kecewa dalam hidup dan tidak boleh berfikir dengan waras, beliau berkata media massa tempatan Indonesia juga sudah tidak melaporkan mengenai mereka.

"Satu hal yang ingin saya tekankan adalah bahawa aksi-aksi yang mereka lakukan sama sekali tidak menggambarkan sikap masyarakat Indonesia. Jangan diberi ruang, jangan sampai mereka berpeluang memburukkan hubungan baik kedua-dua negara," katanya.

Sehubungan itu juga, beliau meminta media massa tidak lagi memainkan isu itu sehingga kumpulan itu merasa mendapat publisiti dan sokongan ataupun merasa dipandang sebagai kumpulan yang serius, sedangkan mereka merupakan kumpulan yang tidak jelas kedudukannya.

"Saya juga berharap agar masyarakat Indonesia dan Malaysia tidak terprovokasi oleh tindakan yang berkemungkinan bertujuan memperkeruh hubungan kedua-dua bangsa ini," katanya.

BENDERA sebelum ini melakukan 'sweeping' kononnya kerana marah terhadap pemerintah Indonesia yang mereka dakwa tidak bertindak tegas ke atas Malaysia berkaitan tuduhan di media massa tempatan kononnya Malaysia mencuri tarian dan kebudayaan Indonesia.

Teuku Faizasyah berkata selama ini keduadua menteri luar Indonesia dan Malaysia telah bersepakat untuk bersamasama menangani dengan baik apa juga masalah sensitif yang timbul antara kedua buah negara.

Dalam satu berita di sebuah laman web tempatan, beliau juga memberikan keterangan yang sama dengan berkata, "Yang penting pihak berkuasa Indonesia akan memastikan bahwa ancaman dari kelompok tersebut tidak akan terjadi." BERNAMA

Artikel Sebelum

Ribut taufan kuat landa Jepun

Artikel Lain