suria

Tidur di reban ayam akibat gempa bumi

PADANG: Walaupun bantuan untuk mangsa gempa bumi 30 September lepas datang mencurah-curah, namun masih ada insan yang terlepas daripada menerima bantuan sehingga terpaksa tinggal di kawasan reban ayam.

Bagi Yarni Daharudin, 45, dari Desa Cubadak Air di Pariaman Utara di sini, reban ayam adalah kawasan yang paling selamat untuk beliau dan empat anaknya tidur dan berehat.

Rumahnya yang rosak teruk tidak dapat dihuni lagi kerana boleh roboh pada bilabila masa sahaja sekiranya berlaku gempa bumi susulan yang kuat.

Kawasan tempat tidur yang sebelum ini adalah stor terletak bersebelahan dengan reban ayam yang hanya dipisahkan dinding papan lapis.

"Beginilah tempat tidur kami sejak gempa...tidur bersama ayam, baunya memang tidak menyenangkan dan kotor, tapi ini saja tempat yang selamat boleh kami tidur.

"Kami lebih rela tinggal di sini daripada tinggal di dalam rumah yang bilabila masa boleh roboh terus," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Kehidupan Yarni menjadi lebih sukar apabila suaminya, Fauzi Dahlan, 62, sudah enam tahun menghidap penyakit strok dan kini dijaga oleh salah seorang iparnya di kampung berhampiran.

"Semua anak saya masih kuliah (belajar), dua orang di Universitas Negeri Padang di Padang dan dua lagi bersekolah di sini, kami hanya bergantung kepada wang pencen suami untuk terus hidup," katanya.

Yarni berkata persekitaran kotor di kawasan reban ayam itu turut menyebabkan dua anaknya yang paling kecil menghidap penyakit kulit dan sakit tekak.

Beliau berkata bantuan seperti perubatan dan kelengkapan asas seperti selimut sangat diperlukan di kampung itu.

"Kami sangat membutuhkan (memerlukan) bantuan selimut kerana cuaca malam di sini sangat dingin, bantuan obat (ubat) juga penting kerna ramai anak-anak di sini gatalgatal habis kulitnya di gigit nyamuk.

"Kalau ada bantuan alhamdulillah, kalau ndak (tidak) kami pasrah aja (sahaja)," kata suri rumah itu. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain