suria

Nelly Fartima terkandas di kampung suami

PADANG: Peniaga kain, Nelly Fartima Azizul, 35, terpaksa menangguhkan hasrat kembali ke Malaysia selepas cuti hari raya di kampung suaminya di sini akibat gempa bumi kuat 30 Sept lepas.

Nelly, 35, yang dilahirkan dan dibesarkan di Medan, Indonesia sudah enam tahun mencari nafkah di Malaysia, mengikuti suaminya Indra Mas Sri Tanjung, 28, berhari raya di Kampung Siteba Kurao sejak 22 Sept lepas.

"Hari ketiga raya (22 Sept) saya sudah di sini dan bercadang mahu beli tiket kapal (laut) ke Malaysia pada 1 Okt. Bila gempa melanda sehari sebelum itu, saya terpaksa tangguhkan (ke Malaysia) kerana masih tidak selamat untuk ke sana," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Tidak seperti kebanyakan 900,000 warga Padang yang sudah biasa dengan gegaran gempa, Nelly yang pertama kali merasakan goncangan bencana alam itu menyifatkan ia pengalaman yang paling menakutkan.

"Saya sedang makan di dapur bersama (kakak) ipar dan ibu mentua pada sore (petang) itu di rumah mentua saya, tiba-tiba seluruh rumah bergegar kuat sehingga jatuh pecah pinggan nasi yang saya makan.

"Kami bertiga terus keluar tetapi tidak bisa (boleh) berlari kerana goncangannya sangat keras (kuat). Sekelip mata sahaja, serpihan bumbung dan dinding rumah jatuh, tapi syukur kami selamat," katanya.

Beliau berkata kebanyakan anggota keluarganya termasuk suami dan lima anak saudara serta abang iparnya yang tinggal di sebelah rumah mentuanya keluar ke bandar ketika kejadian.

"Rumah ipar saya itu ranap semuanya, kebetulan semua anggota rumah belum balik ke rumah lagi, jika tidak tak tahulah nasib mereka bagaimana," katanya.

Nelly berkata kebanyakan rumah penduduk di kampung itu hanya mengalami kerosakan kecil dan ramai yang memilih untuk tidur di luar rumah pada malam hari.

Katanya untuk lebih selesa ada yang membawa keluar kerusi yang berada di dalam rumah atau sekadar tidur beralaskan tikar dan pemidang plastik sebagai bumbung.

"Bagi penghuni yang rumahnya rosak teruk, tidur di halaman rumah lebih nyaman kerana bekalan letrik belum ada, lagipun lebih selamat," katanya.

Menurutnya beliau rindu untuk pulang ke Malaysia kerana ancaman gempa seperti itu tidak berlaku di sana.

"Saya pingin (ingin) sekali kembali ke Malaysia kerana semuanya aman di sana, mungkin dalam dua tiga hari lagi saya akan kembali," katanya yang menjalankan perniagaan di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Artikel Lain