NEW DELHI: Mayat wanita rakyat Malaysia, yang terbunuh selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Leh, Kashmir, akhir Ogos, akan diterbangkan ke Kuala Lumpur semalam.
Mayat Cheong Swee Chun, 42, yang tercampak keluar ke dalam arus deras Sungai Indus apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya bersama empat lagi rakannya warga Malaysia, terlanggar batu dan terbalik ke dalam jurang sedalam 70 meter, ditemui pagi kelmarin.
Mayatnya ditemui di Leh, yang terletak kira-kira 900 km dari Delhi, tiba di lapangan terbang antarabangsa Indira Gandhi dan kemudiannya dibawa ke rumah mayat berdekatan dengan ibu negara India di mana mayatnya telah diawetkan.
Seorang sami kanan Buddha menjalankan upacara keagamaan sebelum mayat itu dibawa ke lapangan terbang di mana beliau akan diterbangkan oleh pesawat Malaysia Airlines (MAs) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Tiga lagi rakan Swee Chun, kesemuanya rakyat Malaysia, yang menaiki kenderaan yang sama apabila kemalangan itu berlaku meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera parah.
Tiga mangsa yang malang itu ialah Tan Guat Gnoh, 54, Lee Ah Yem, 59, dan Ang Ee Lee, 52. Lin Bee Wong, 47, mengalami kecederaan tulang belakang dan telah pulang ke Malaysia.
Mereka bersama 30 lagi rakyat Malaysia sedang dalam perjalanan ke Leh, untuk menjalankan kerja-kerja amal bagi orang yang tidak bernasib baik di daerah pedalamanan di kawasan paling utara India.
Sementara itu, seorang lagi rakyat Malaysia, yang berada di Ludhiana di Punjab, untuk melawat sanak saudaranya dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung awal pagi ini.
Mayat Jeet Kaur, 69, dari Kuala Lumpur, diterbangkan ke KLIA semalam. BERNAMA


