suria

Juruterbang Jet Airways tamat protes, khidmat penerbangan ke KLIA pulih

NEW DELHI: Penerbangan Jet Airways dari Chennai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan kembali beroperasi seperti biasa mulai Ahad malam selepas juruterbang syarikat itu beramai-ramai menamatkan protes yang dilaksanakan mereka sejak awal minggu ini.

Lima hari selepas 400 juruterbang syarikat itu mengambil cuti sakit, mereka mulai kembali ke tempat kerja Ahad.

Keputusan menamatkan protes beramai-ramai itu diumumkan selepas pihak pengurusan syarikat itu dan pemimpin National Aviators Guild mencapai kata sepakat untuk menangani sengketa antara mereka, yang melumpuhkan operasi penerbangan syarikat berkenaan.

"Persetujuan secara baik dicapai dalam usaha memulihkan semua operasi penerbangan dalam negeri dan antarabangsa dengan serta merta.

"Mulai Ahad ini (13 September) penerbangan akan beroperasi mengikut jadual penuh perkhidmatan ke semua sektor, dengan semua anak kapal kembali melapor diri untuk bertugas seperti biasa," kata pengerusi syarikat penerbangan itu Naresh Goyal dalam satu kenyataan.

Juruterbang-juruterbang itu memulakan protes selepas pihak pengurusan memecat dua rakan sekerja mereka kerana menubuhkan kesatuan sekerja, dan kemudiannya menamatkan perkhidmatan dua lagi juruterbang.

Syarikat penerbangan itu bagaimanapun bersetuju untuk mengambil empat juruterbang itu untuk kembali berkhidmat dengannya.

Isnin lepas ratusan juruterbang yang tidak berpuas hati dengan pemecatan rakan sekerja mereka itu mengambil suti sakit, mengakibatkan banyak masalah bagi penerbangan dalam negeri dan antarabangsa, yang membawa kepada pembatalan hampir 800 penerbangan.

Syarikat penerbangan dalam negeri yang terbesar di India itu melakukan 330 penerbangan setiap hari, yang menghubungkan 63 destinasi, di mana 19 darinya adalah destinasi antarabangsa. BERNAMA

Artikel Lain