suria

Pasukan petugas Australia siasat bayaran kepada orang tengah warga asing

MELBOURNE: Akhbar 'The Age' semalam melaporkan seorang ahli perniagaan warga Malaysia yang menjadi broker perjanjian bagi mencetak mata wang untuk dua syarikat Australia di Malaysia, juga merupakan broker bagi program senjata nuklear Pakistan.

The Age berkata pasukan petugas Polis Persekutuan Australia kini menyiasat bayaran yang dibuat oleh sebuah daripada syarikat itu yang membabitkan berjuta-juta dolar dalam bentuk komisen kepada orang tengah rakyat asing yang digunakan untuk membantu memuktamadkan perjanjian bagi mencetak mata wang di Afrika, Asia dan Amerika Latin.

Bekas sekutu perniagaan ahli perniagaan warga Malaysia itu memberitahu akhbar berkenaan bahawa beliau mendakwa mempunyai hubungan dengan kalangan peringkat tertinggi di Malaysia dan khidmatnya boleh digunakan untuk membantu menguruskan perjanjian untuk syarikat asing.

Syarikat-syarikat Australia memenangi kontrak mencetak mata wang di Malaysia pada 1998 dan 2004 untuk wang kertas polimer buatan Australia.

Malaysia memperkenalkan wang kertas polimer peringatan RM50 pada 1998 ketika menjadi tuan rumah Sukan Komanwel ke-16 dan wang kertas polimer RM5 pada 2004. BERNAMA

Artikel Lain