suria

400 juruterbang cuti sakit, 144 penumpang ke KL terkandas

CHENNAI: Penerbangan sebuah pesawat Jet Airways ke Kuala Lumpur yang dijadual berlepas malam semalam, dibatalkan setelah hampir 400 juruterbang syarikat itu mengambil cuti sakit beramai-ramai sebagai menyatakan bantahan terhadap pengurusan.

Dua lagi penerbangan antarabangsa dari Chennai, masing-masing menuju ke Kuala Lumpur dan Brussels, turut dibatalkan.

Juruterbang penerbangan ke Kuala Lumpur, yang dijadual berlepas pada 12 tengah malam dengan membawa 144 penumpang, memaklumkan pada 11.15 malam (Isnin) bahawa dia mengambil cuti sakit, mengakibatkan penerbangan itu dibatalkan.

Tindakan juruterbang terbabit mengganggu operasi domestik dan antarabangsa Jet Airways, apabila hampir 20 penerbangan dalam negeri dan dua penerbangan antarabangsa tidak dapat berlepas, mengakibatkan kelam-kabut di lapangan terbang utama.

Juruterbang mengambil cuti sakit sejak semalam sebagai lambang kesetiakawanan bagi menyatakan bantahan terhadap syarikat penerbangan itu, selepas dua rakan setugas kanan mereka dipecat kira-kira sebulan lepas kerana menubuhkan kesatuan dalam syarikat berkenaan. "Aktiviti tersusun ini adalah rancangan sabotaj yang sengaja diatur yang akan merosakkan operasi syarikat penerbangan dan menimbulkan kesulitan kepada penumpang," katanya syarikat penerbangan itu melalui satu kenyataan.

Dialog tujuh jam antara pengurusan dan wakil juruterbang gagal memecahkan kebuntuan itu semalam.

Jet Airways mengumumkan bahawa penumpang boleh mendapatkan bayaran balik atau membuat tempahan semula bagi mana-mana penerbangan lain.

Sebagai syarikat penerbangan domestik swasta terbesar India, Jet Airways mengadakan lebih 330 penerbangan setiap hari merangkumi 63 destinasi, 19 daripadanya destinasi antarabangsa. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain