suria

Penyokong Thaksin tekad teruskan demonstrasi jalanan 19 September ini

BANGKOK: Penyokong bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra membatalkan rancangan untuk mengadakan perhimpunan di sini hari ini, namun bertekad untuk meneruskan demonstrasi besarbesaran pada 19 September ini sempena ulang tahun ketiga insiden rampasan kuasa yang menyaksikan kerajaan Thaksin ditumbangkan.

Pemimpin United Front for Democracy against Dictatorship (UDD) Veera Musikhapong berkata tunjut perasaan esok dibatalkan selaras dengan rancangan kerajaan untuk menguatkuasakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang menghalang tunjuk perasaan tersebut, yang memberi kuasa penuh kepada pasukan keselamatan untuk bertindak.

Beliau berkata pada 19 September ini semua penunjuk perasaan yang memakai baju merah, yang menjadi lambang penyokong Thaksin, akan berkumpul di hadapan kediaman Presiden Majlis Privy, Prem Tinsulanonda, yang dituduh mereka sebagai dalang yang membawa kepada kejatuhan Thaksin serta dua Perdana Menteri yang dikaitkan dengan Thaksin kemudiannya.

"Kami akan meneruskan dengan tunjuk perasaan 19 September ini sebagaimana yang dirancang, sekalipun kerajaan mengenakan ISA," katanya pada satu persidangan akhbar di sini semalam.

Tunjuk perasaan yang sama dirancang minggu lepas terhadap kerajaan semasa di bawah pimpinan Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva, namun ia dibatalkan selepas Perdana Menteri menguatkuasakan ISA dan menghantar ratusan tentera di jalan-jalan di ibukota.

Thaksin yang memimpin dari tahun 2001 sehingga ditumbangkan pada 19 September 2006 kini tinggal dalam buangan di Kanada, dan beliau pernah kembali ke Thailand untuk seketika tahun lepas, namun melarikan diri sebelum mahkamah sempat menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadapnya atas tuduhan salah guna kuasa, yang dianggap Thaksin sebagai bermotifkan politik.

Penyokong berbaju merahnya mengadakan demonstrasi jalanan pada bulan April lepas, dan April lepas mereka menyerbu venue Sidang Kemuncak Asia Timur di Pattaya sehingga memaksa persidangan itu ditangguhkan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain