suria

Thailand anjur Sidang Kemuncak Asean Ke-15 di Hua Hin

BANGKOK: Sidang Kemuncak Asean ke-15 dan sidang kemuncak yang berkaitan dengan rakan dialog akan diadakan di Hua Hin dari 23-25 Okt ini dan bukannya di Phuket seperti dijadual pada asalnya.

Menteri Luar Thailand Kasit Piromya berkata Hua Hin, yang menjadi tuan rumah bagi Sidang Kemuncak Asean ke-14 pada Februari dan juga tempat terletaknya istana musim panas Raja Bhumibol Adulyadej, dipilih atas faktor keselamatan.

"Kami telah memaklumkan semua negara peserta mengenai venue itu," katanya kepada media Thailand melalui temubual telefon dari Kota Kinabalu di mana beliau sedang menghadiri mesyuarat kedua Strategi Pembangunan Bersama (JDs) bagi Kawasan Sempadan dan Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Dua Hala ke-11.

Kasit berkata selepas merundingi agensi-agensi keselamatan, kementerian itu memilih Hua Hin kerana Phuket akan menyambut festival vegetarian pada masa itu dengan dijangka akan menerima kedatangan jumlah pelancong yang banyak.

Di bawah Piagam Asean yang berkuatkuasa pada Disember tahun lepas, perkumpulan 10 negara anggota itu perlu menganjurkan dua Sidang Kemuncak setiap tahun.

Thailand, selaku Pengerusi Asean ketika ini, menghadapi banyak tekanan dan kesulitan dalam menganjurkan mesyuarat berkaitan Asean ekoran sedang menghadapi pergolakan politik domestik.

Sidang Kemuncak Asean ke-14 pada asalnya dijadual pada Disember tahun lepas tetapi telah dipinda ke Februari, tanpa Sidang Kemuncak Asia Timur (EAs) dengan rakan dialog.

Semasa EAS diadakan di Pattaya pada April, ribuan penunjuk perasaan antikerajaan menyerbu venue mesyuarat, memaksa Perdana Menteri Thailand Abhisit Vejjajiva membatalkan sidang kemuncak itu.

Berikutan kebimbangan terhadap soal keselamatan, Mesyuarat Menterimenteri Luar Asean dan Forum Rantau Asean dipindahkan ke Phuket Julai lepas di mana pihak berkuasa menguatkuasakan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan mengharamkan semua jenis bantahan.

Keadaan di Bangkok adalah tenang sejak empat bulan lepas, tetapi pada Isnin, penyokong Perdana Menteri yang telah digulingkan Thaksin Shinawatra dijangka berhimpun di ibu negara itu untuk menyerahkan lebih sejuta tanda tangan kepada Raja untuk memohon pengampunan bagi ahli politik yang dalam pelarian. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain