suria

Indonesia, Malaysia akan bincang usaha tangani keganasan

JAKARTA: Indonesia dan Malaysia akan memperkuat usaha bersama menangani ancaman keganasan, yang akan dibincang lebih lanjut antara Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Menteri Luar Indonesia, Hassan Wirajuda.

Hassan tidak pula memberikan tarikh pertemuan kedua-dua pemimpin itu tetapi berkata, kemungkinan pada Oktober sebelum majlis pelantikan Presiden Susilo untuk penggal keduanya.

"Memang perlu diperkuatkan kerjasama kedua-dua negara untuk mengatasi masalah terrorisme," katanya selepas mengiringi Susilo ketika menerima kunjungan perpisahan Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Zainal Abidin Mohamed Zin di Istana Presiden di sini, Jumaat.

Hassan berkata selama ini sudah terjalin hubungan dan kerjasama baik antara pihak polis Indonesia dan Malaysia termasuk dalam bertukar-tukar maklumat untuk menangani masalah keganasan.

Zainal Abidin berkata beliau menyampaikan penghargaan kepada Susilo dan pemerintah Indonesia yang sentiasa bersungguh-sungguh dan bekerjasama baik dalam menyelesaikan pelbagai isu yang timbul dalam hubungan dua hala. BERNAMA

Artikel Lain