suria

Indonesia tenang sehari selepas mahkamah buat keputusan

JAKARTA: Indonesia kekal aman sehari selepas Mahkamah Konstitusi Indonesia menolak tuntutan pembatalan keputusan pilihan raya presiden oleh Megawati Soekarnoputri dan Jusuf Kalla.

Keputusan itu yang mengesahkan kemenangan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan pasangannya, Naib Presiden Boediono nampaknya diterima baik oleh dua pasangan calon yang kalah iaitu MegawatiPrabowo dan Jusuf KallaWiranto, malah oleh rakyat.

"Syukurlah, semuanya tenang kerana penolakan itu (oleh mahkamah) diterima baik. Ini petanda kematangan demokrasi," kata pemerhati politik dan sosial, Salleh Dani kepada Bernama semalam.

Wartawan veteran itu berkata, jika penolakan itu tidak diterima, sudah pasti banyak penyokong pasangan calon yang kalah akan turun ke jalanjalan raya di seluruh negara untuk berdemonstrasi.

Mahkamah Konstitusi mengesahkan pengumuman sebelum ini oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU) bahawa SusiloBoediono memenangi 60.8 peratus daripada sejumlah 121.5 juta undi yang sah.

Megawati kelmarin mengarahkan ratusan penyokongnya yang berkumpul di depan rumahnya di Jalan Teuku Umar di sini, yang tidak dapat menerima penolakan oleh mahkamah itu, supaya pulang dengan tenang dan tidak bertindak ganas.

Kumpulan tersebut yang memanggil diri mereka Benteng Demokrasi Rakyat sebelum itu turut menunjuk perasaan di depan Mahkamah Konstitusi, malah ada yang membaling batu kepada kenderaaan.

Penyandang Naib Presiden Jusuf Kalla, yang memimpin Parti Golkar turut mengucapkan tahniah kepada Susilo selepas mahkamah membuat keputusan. Seorang pengusaha Malaysia di sini yang tidak mahu namanya disebutkan berkata, rakyat Indonesia menunjukkan kematangan berpoltik dengan menerima keputusan mahkamah itu.

"Di sini kita dapat melihat indahnya demokrasi yang diamalkan. Pihak yang tidak puas hati boleh melakukan semua langkah yang dibolehkan dalam undang-undang. Mereka berjuang melalui undang-undang dan apa pun keputusan mahkamah diterima dengan baik," katanya.

Pemerhati politik dari Universitas Indonesia, Arbi Sanit berkata keputusan mahkamah itu mengukuhkan kedudukan Susilo dan Boediono.

Pada pilihan raya legislatif April lepas, Parti Demokrat menguasai 148 daripada sejumlah 560 kerusi Parlimen Indonesia diikuti Golkar 108 kerusi dan Parti Demokrasi PerjuanganIndonesia (PDIP) pimpinan Megawati 93 kerusi, manakala bakinya termasuk oleh partiparti yang menyokong Demokrat. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain