suria

Asean kecewa dengan keputusan terhadap Suu Kyi

BANGKOK: Thailand, pengerusi Asean ketika ini, melahirkan kekecewaannya kerana pemimpin prodemokrasi Myanmar Aung San Suu Kyi diperintah menjalani tahanan di rumah selama 18 bulan dengan pergerakan terhad.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Thai sehari selepas keputusan itu, Thailand mengulangi gesaan yang dibuat Menteri-Menteri Luar Asean pada mesyuarat tahunan mereka bulan lepas apabila mereka meminta pembebasan segera semua orang yang di bawah tahanan termasuk Suu Kyi.

Thailand berkata pembebasan itu adalah penting bagi membolehkan mereka mengambil bahagian dalam pilihan raya umum 2010.

"Tindakan itu akan menyumbang kepada pemuafakatan di kalangan rakyat Myanmar, dialog yang bermakna dan memudahkan pendemokrasian Myanmar," kata kementerian itu.

Thailand, yang akan menyerahkan kerusi pengerusi kepada Vietnam semasa sidang kemuncak Asean ke15 Oktober ini, berkata hanya pilihan raya bebas dan adil akan dapat merintis jalan bagi integrasi penuh Myanmar ke dalam masyarakat antarabangsa.

Suu Kyi, yang telah menghabiskan 14 daripada 20 tahun menjalani tahanan di rumah, telah dihukum tambahan 18 bulan tahanan di rumah Selasa lepas kerana melanggar syaratsyarat penahanan di rumah selepas seorang lelaki rakyat Amerika berenang merentasi sebuah tasik untuk memasuki rumah beliau pada Mei.

Perbicaraan dan hukuman yang dijangka ke atasnya telah dikritik secara meluas oleh masyarakat antarabangsa, yang menganggap tindakan terbaru oleh junta tentera negara itu sebagai satu daripada usaha untuk menyekat beliau daripada menyertai pilihan raya umum tahun depan.

Thailand berkata negara anggota Asean ingin melihat rakan anggota mereka berada di dalam keadaan aman dan makmur dan sentiasa dihormati masyarakat antarabangsa.

Pengerusi Asean itu juga mengulangi kesediaan kumpulan serantau itu untuk bekerjasama dengan kerajaan Myanmar dalam usaha untuk merealisasikan tujuh langkah ke arah demokrasi dam sentiasa berhubung secara konstruktif dengan Myanmar untuk bersamasama membina Komuniti Asean.

"Kami akan terus menyokong Setiausaha Agung Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB) dan menggesa Myanmar memberi kerjasama sepenuhnya dengan PBB," kata Thailand. BERNAMA

Artikel Lain