TYRE (Lubnan): Kontinjen Malaysia (Malcon) yang bertugas dengan pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (Unifil) menerima penghargaan apabila tanggugjawab serta kekuatan pasukan itu ditingkatkan ke peringkat batalion, dan ia kini dikenali sebagai Batalion Malaysia (Malbatt).
Majlis peningkatan peringkat itu disempurnakan oleh Timbalan Komander Sektor Barat Unifil, Kol Philip Chorrone semalam, di Kem 245 AtTiri, dekat sini, yang menjadi pusat kawalan tentera Malaysia.
Kol Chorrone berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memainkan peranan penting dalam usaha mengekalkan keamanan di selatan negara itu yang bersempadan dengan Israel itu kerana penduduk tempatan turut menyenangi kehadiran mereka.
"Tentera Malaysia memainkan peranan yang besar bukan sahaja kepada Unifil, malah kepada dunia, dan mereka cukup professional serta saling melengkapi ketika menjalankan tugas yang ditetapkan," katanya.
Dengan peningkatan peringkat itu, Komander Malcon bagi Sektor Timur, Kol Hashim Aman Shah kini memegang jawatan Komander Malbatt yang pertama di Lubnan.
Hashim berkata Malcon sebelum ini mengawal di kawasan sempadan seluas 40 kilometer persegi, dan dengan peningkatan anggota ke peringkat Batalion, kawasan rondaan turut meningkat lebih sekali ganda, kepada 93 kilometer persegi.
"Malbatt turut mengambil alih kawasan rondaan batalion Ghana dan Itali, namun ini bukan penambahan tugas, hanya masa rondaan yang lebih lama.
"Dalam pada itu, saya sering mengingatkan tentera Malaysia agar sentiasa berwaspada kerana keadaan di sini masih tidak stabil, sebarang kemungkinan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja, walaupun masyarakat tempatan menerima baik kehadiran anggota tentera Malaysia di sini," katanya.
Mengulas kejadian serangan penduduk tempatan terhadap anggota Unifil tiga minggu lepas hingga mencederakan 14 anggota dari Batalion Perancis, Hashim berkata insiden itu merupakan satu kejadian salah anggap antara penduduk dengan anggota Unifil.
Malaysia mula menyertai misi pengaman Unifil bagi menguatkuasakan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB pada Januari 2007 selepas serangan Israel ke atas Hizbullah pada Julai 2006.
Majlis Keselamatan PBB meluluskan Resolusi 1701 dengan menetapkan gencatan senjata kedua-dua pihak bertelagah selepas berlaku konflik 34 hari itu.
Malbatt dengan kekuatan 750 anggota kini berperanan memastikan kedua-dua pihak mematuhi resolusi tersebut, dan selain Malaysia, 30 negara lain turut terlibat dalam misi PBB itu. BERNAMA


