suria

Singapura: Yasmin beri definisi baru konsep hubungan manusia

SINGAPURA: Yasmin Ahmad telah memberi definisi baru konsep hubungan sesama manusia menerusi karyanya "yang berani, paparan babak kehidupan yang sebenar namun pada masa yang sama meruntun kalbu", menurut Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan Singapura (MCYs) mengenai pengarah filem tersohor Malaysia itu yang meninggal dunia Sabtu lepas.

"Karyanya yang mementingkan hubungan kekeluargaan bagi MCYS begitu unggul melalui ungkapan tulus ikhlas yang menonjolkan kepentingan keluarga sebagai teras masyarakat," kata kementerian itu dalam perutusan takziah kepada keluarga allahyarham.

Yasmin dijemput oleh MCYS pada 2007 untuk membantu meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap isuisu penting yang menjadi kebimbangan keluarga di Singapura.

Beliau menerbitkan dan mengarahkan dua kempen komersil TV bertajuk 'Red Shoes' pada Jun 2008 dan 'Funeral' pada April lepas, yang sehingga hari ini masih menjadi inspirasi kepada rakyat Singapura dan di luar Singapura melalui Internet.

Menteri Vivian Balakrishnan yang turut mengucapkan takziah dan simpati kepada keluarga Jasmin berkata, "Saya akan sentiasa mengingati senyuman Yasmin, keikhlasannya, kreativitinya dan cara dia menyampaikan mesejnya yang tetap melekat dalam hati kita kerana nilai jenaka dan kejujurannya yang luar biasa."

Pengerusi Majlis Keluarga Negara Lim Soon Hock berkata Yasmin adalah bakat yang luarbiasa yang diberkati dengan kebolehan untuk menyampaikan mesej yang mampu menambat hati pelbagai lapisan masyarakat.

"Paparannya yang jujur dan tulus ikhas mengenai isu keluarga dalam komersil Tv dan filemnya telah memberikan dimensi baru terhadap usaha kami untuk mendekati orang ramai. Saya amat berbesar hati kerana berpeluang berjumpa dan bekerja dengan Yasmin," kata Lim.

Allahyarham Yasmin paling dikenali melalui filem arahannya antara 2003 dan 2008, yang mengutarakan isu seperti agama, pengabaian ibu bapa dan hubungan antara kaum, serta komersil televisyen yang meruntun kalbu yang memfokuskan kepada ikatan keluarga dan masyarakat. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain