suria

Sebuah motosikal dimusnahkan berhampiran venue mesyuarat ARF

PHUKET: Pihak berkuasa keselamatan Thailand hari ini memusnahkan sebuah motosikal yang dikesan mencurigakan, kira-kira 300 meter daripada venue mesyuarat Forum Serantau Asean (ARF) di sini.

Komander Tentera Wilayah Pertama Thailand Jen Lt Kanit Sapitak berkata motosikal itu dimusnahkan menerusi pancutan air bertekanan tinggi sebagai langkah berjaga-jaga selepas pihak berkuasa gagal mengesan pemiliknya.

"Kami temui motosikal itu pada kira-kira 9 pagi di kawasan larangan parkir, dan kawasan itu kemudiannya dikepung selama kira-kira sejam," katanya.

Beliau berkata walaupun tiada bahan-bahan yang meragukan ditemui, pihaknya memutuskan untuk memusnahkan motosikal itu sebagai langkah berjaga-jaga disebabkan tahap keselamatan ketat yang dikenakan di kompleks peranginan itu di mana lebih 1,200 delegasi menginap.

Setiausaha Negara Amerika Hillary Clinton menyertai menteri-menteri luar serta pegawai-pegawai kanan dari 26 negara di mesyuarat keselamatan serantau itu, seminggu selepas insiden pengeboman di dua hotel mewah Amerika di Jakarta.

Kerajaan Thailand menggerakkan kira-kira 10,000 tentera dan polis untuk mengetatkan kawalan keselamatan di mesyuarat Menteri-menteri luar Asean dan acara berkaitan yang berlangsung selama seminggu di pulau peranginan itu.BERNAMA

Artikel Lain