suria

4 ditahan menjelang kehadiran Hillary Clinton di Thailand

PHUKET: Pasukan keselamatan Thailand menahan empat orang yang dipercayai mahu mencetus rusuhan semasa Persidangan Menteri Luar Asean di sini.

Akhbar The Nation melaporkan Ketua Komandan Tentera Laut, Laksamana Kamthorn Pumhirun sebagai berkata, suspek ditahan di Pulau Yao di Wilayah Phang Nga dekat sini, yang ramai didiami penduduk Islam.

Mereka disoal kerana disyaki cuba melakukan ketegangan semasa persidangan yang sedang berlangsung sekarang, laporan harian tersebut dalam laman webnya.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton dijangka menghadiri persidangan tersebut esok.

Jumaat lalu, sembilan orang mati dalam letupan bom di dua rangkaian hotel Amerika di Jakarta.

Ribuan anggota tentera dan polis berkawal dan memeriksa kenderaan di sekitar pulau peranginan ini, terutama di laluan menghala ke venue persidangan di Laguna Phuket.

Sementara di kota Bangkok, ratusan penunjuk perasaan baju merah menunjuk perasaan berhampiran Rumah Kerajaan di mana terletak pejabat Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva.

Penyokong kepada perdana menteri yang digulingkan Thaksin Shinawatra itu yang mendesak Timbalan Perdana Menteri Suthep Thaugsuban dan Menteri Luar Kasit Piromya meletak jawatan, bertegas akan berhimpun sehingga Clinton tiba untuk bertemu Abhisit.BERNAMA

Artikel Lain