suria

Isu bom: Polis Indonesia minta media massa lebih hati-hati

JAKARTA: Polis Indonesia meminta media massa tempatan supaya lebih berhati-hati dalam membuat laporan susulan mengenai kejadian pengeboman hotel JW Marriott dan Ritz Carlton agar berita dan gambar yang disiar tidak menyebabkan masyarakat merasa takut dan tidak aman.

Laporan beserta gambar kecederaan teruk mangsa yang menyebabkan masyarakat keliru, sedih dan merasa tidak selamat, adalah perkara yang diinginkan kelompok pengganas, menurut satu kenyataan polis di sini, Isnin.

"Jangan sampai menjadi alat menakutkan kepada orang ramai. Tujuan pelaku keganasan ini adalah untuk mendapatkan liputan media sebanyak mungkin.

"Dengan penayangan gambar-gambar mangsa yang luka, cedera dan sedih, masyarakat akan menjadi takut. Ini yang dimahukan pengganas," kata kenyataan itu.

Polis juga meminta wartawan jangan membuat laporan berdasarkan fakta yang tidak tepat, spekulasi dan tidak dapat dipertanggungjawabkan sehingga mengganggu kelicinan siasatan polis.

Jangan sampai media massa kehilangan tujuan murninya memberikan maklumat tepat dan benar kepada masyarakat dan jangan sampai kelompok pengebom yang mendapat untung dan orang ramai berada dalam ketakutan, kata kenyataan itu.

Polis Indonesia meminta media massa bersabar dan menunggu maklumat rasmi yang dikeluarkan oleh polis berdasarkan hasil siasatan, fakta dan data yang sah sahaja supaya tidak menyebarkan spekulasi yang boleh membingungkan orang ramai.

"Polis Indonesia tidak akan menyampaikan kesimpulan apa pun sebelum ia jelas dengan fakta dan data yang sah dan boleh dipertanggungjawabkan," kata kenyataan itu yang meminta jika wartawan mempunyai maklumat berkaitan bolehlah diserahkan kepada polis untuk siasatan.

Sementara itu Jurucakap Bahagian Perhubungan Awam Polis Indonesia, Sulistyo Irshad memberitahu wartawan di pusat media di tempat kejadian bahawa sehingga ini sembilan orang disahkan mati dan lima daripada mereka sudah dikenalpasti, manakala daripada lebih 50 mangsa yang cedera, 12 lagi yang masih dirawat.

Beliau juga enggan mengesahkan laporan kononnya ibu bapa kepada lelaki berinisial 'N', yang disyaki seorang daripada dua pengebom bunuh diri itu, telah dibawa oleh polis di Jawa Tengah untuk diuji sampel DNA mereka pagi ini bagi dipadankan dengan DNA pengebom bunuh diri itu.

Polis Indonesia sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa pengeboman dua buah hotel mewah di kawasan Mega Kuningan di sini pada pagi Jumaat itu dilakukan oleh dua pengebom bunuh diri. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain